Forestieri antara 3 bintang JDT bakal jadi 'mangsa' rombakan skuad


  • Podium
  • Isnin, 29 Jul 2024

Khidmat Forestieri kurang ditagih dengan terdapat pelbagai pilihan lain yang lebih berkualiti di posisinya musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

BERBAKI kira-kira dua minggu sebelum jendela perpindahan dibuka, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah membuat pengumuman mengenai dua wajah baharu yang akan menyertai pasukan itu.

Bekas pertahanan Ratchaburi FC di Thailand, Park Jun-heong merupakan nama pertama yang disambar skuad Harimau Selatan dalam misi mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka.

Tidak lama selepas itu, pasukan bimbingan Hector Bidoglio berkenaan menerima kehadiran Enzo Lombardo yang pernah beraksi di divisyen kedua Sepanyol beberapa musim lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Import baharu JDT sarung jersi no 7, petanda Jalil Elias sudah tinggalkan Harimau Selatan

BACA LAGI: 'K-pop in the house', bintang baru JDT boleh bantu cipta rekod untuk Syihan

453100157_1061655591997083_2221954918177581759_n

Lombardo merupakan antara rekrut terbaru skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kemasukan kedua-dua pemain berkenaan memberi isyarat bahawa JDT semakin dahaga di pentas Asia memandangkan mereka bakal berentap dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit musim ini.

Namun, dalam usaha memastikan kesemua daripada rekrut baharu berkenaan dapat didaftarkan, beberapa pemain sedia ada perlu ditunjukkan jalan keluar terlebih dahulu.

Ini juga perlu bagi membolehkan struktur kewangan kelab tidak terjejas apabila terpaksa menanggung kos gaji bintang dalam pasukan, terutamanya dalam kalangan pemnain import.

Jadi, melihat kepada skuad Harimau Selatan ketika ini, terdapat tiga nama yang wajar ditunjukkan jalan keluar memandangkan sumbangan masing-masing kian terbatas.

1. Fernando Forestieri

Pada awal jendela perpindahan pertama, JDT sudah memberikan ucapan maju jaya terhadap pemain sayap, Fernando Forestieri atas khidmatnya sepanjang dua tahun buat kelab itu.

Namun, tidak lama selepas itu, jaguh Liga Super berkenaan bertindak mengumumkan pemain kelahiran Argentina tersebut akan kembali menyarung jersi pasukan buat sekurang-kurangnya semusim lagi.

Keputusan itu menerima respons baik daripada penyokong skuad Harimau Selatan yang cukup tertarik dengan khidmat penyerang sayap berkenaan sepanjang beraksi buat kelab berkenaan.

452872480_1059686592193983_97413515026566683_n

Kebergantungan JDT terhadap Forestieri kian berkurang musim ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, setakat ini, impak bekas pemain Sheffield Wednesday itu kurang menyerlah meskipun sudah mencetak tiga gol daripada tiga penampilan dalam semua kejohanan domestik.

Meskipun pulangan itu masih boleh dianggap berbaloi, standard tinggi diletakkan skuad Harimau Selatan membuatkan statistik Forestieri kurang memberangsangkan.

Jadi, dengan skuad Harimau Selatan sudah memiliki Juan Muniz dan Enzo Lombardo di posisi berkenaan, Forestieri pastinya akan didesak mencari kelab baharu tidak lama lagi.

2. Shane Lowry

Satu ketika dahulu, Shane Lowry merupakan tonggak utama dalam benteng pertahanan skuad Harimau Selatan dengan kelibatnya amat diperlukan dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, perkara itu berubah pada 2022 selepas pemain kelahiran Australia tersebut mengalami kecederaan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah.

Sejak itu, bek tengah berusia 35 tahun tersebut lebih kerap diturunkan dalam perlawanan berintensiti rendah, lebih-lebih lagi selepas Feroz Baharudin mempamerkan belangnya.

452954743_1059686612193981_9141590063688173485_n

Shane Lowry tidak lagi berada di tahap terbaik seperti musim-musim sebelum ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perkara berkenaan dibuktikan apabila setakat ini, Shane Lowry hanya merekodkan satu penampilan buat skuad Harimau Selatan, iaitu ketika aksi Piala FA menentang Kelantan Darul Naim FC.

Kesukaran meraih minit permainan akan sekali gus mendesak pemain berkenaan untuk meninggalkan JDT demi meraih peluang lebih kerap menjelang pengakhiran kariernya.

Malah, kemasukan Jun Heong sebagai pertahanan baharu seakan-akan menjadi petanda bahawa Shane Lowry sudah kehilangan tempat dalam pasukan.

3. Mohamadou Sumareh

Sejak menyertai skuad Harimau Selatan, prestasi dan reputasi Mohamadou Sumareh terus merudum tidak seperti ketika dia masih beraksi untuk Pahang FA satu ketika dahulu.

Manakan tidak, gaya permainan yang tidak jelas dan kerap mensia-siakan peluang membuatkannya sering didesak untuk mencari kelab baharu dengan segera.

Namun, sehingga kini, khidmat pemain naturalisasi negara itu masih ditagih, lebih-lebih lagi ketika berdepan pasukan kurang mengancam atau dalam aksi pramusim.

452559032_1059030425592933_4936202382725238063_n

Sumareh tidak dapat beraksi dengan kerap sepanjang bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, terdapat kemungkinan Sumareh akan akhirnya didesak mencari angin baharu dalam kariernya berikutan lambakan pilihan lain di posisi serangan.

Meskipun terdapat peluang kecil baginya mencari pasukan lain dalam arena bola sepak tanah air, pemain kelahiran Gambia itu perlu berbuat demikian demi masa depannya sendiri.

Bagaimanapun, sekiranya dia selesa dengan keadaannya ketika ini, Bidoglio dan pihak pengurusan JDT sudah tentu akan terus memberi ruang buatnya kekal dalam bilik persalinan skuad Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram