Joo Ngan buka mulut, tepis dakwaan pilih kasih, tak jaga kebajikan pelumba


  • Podium
  • Rabu, 27 Mac 2024

Joo Ngan menafikan tuduhan pilih kasih serta tidak menjaga kebajikan pelumbanya. — Agensi

WALAUPUN bersedia untuk tutup buku dan move on daripada isu yang melanda dirinya, tetapi bagi jurulatih sukan berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan dia masih mahu memulihkan reputasinya.

Reputasi jurulatih veteran di Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) itu tercalar selepas timbul kontroversi mengatakan dia mengamalkan sikap pilih kasih terhadap segelintir pelumba di bawah bimbingannya.

Dalam laporan Majoriti sebelum ini, Joo Ngan dikatakan mengamalkan sikap pilih kasih hingga memberi kesan kepada pembayaran elaun para pelumba yang menyertai pertandingan seperti Sukan Malaysia (Sukma), Youth Cycling Malaysia (YCM) serta kejohanan anjuran Yayasan Sime Darby (YSD).

Selain itu, Joo Ngan turut dikatakan tidak menjaga kebajikan para pelumba ketika mereka turun bertarung di pelbagai kejohanan.

Bercakap kepada Majoriti, Joo Ngan menafikan perkara dakwaan yang mengatakan dia tidak menjaga kebajikan para pelumbanya.

Joo Ngan menafikan dakwaan yang dilemparkan kepadanya dengan berkata pihak ibu bapa tidak memahami situasi yang terjadi.

BACA LAGI: Joo Ngan bukan setakat pilih kasih?

1606858_974672215886136_2549869266801603491_n

Joo Ngan mahu keluar daripada kemelut yang melanda dirinya. — Facebook/Datuk Ng Joo Ngan

BACA LAGI: "Saya tak paksa sesiapa pun...', Joo Ngan mahu 'move on' isu amal pilih kasih pelumba KLCA

Menurut Joo Ngan, terdapat segelintir ibu bapa yang cepat tidak berpuas hati terutamanya apabila anak mereka tidak dipilih untuk menyertai pertandingan.

Katanya, dia memilih pelumba yang benar-benar berkualiti untuk mewakili mana-mana pertandingan. Berdasarkan pengalaman luasnya dalam melatih pelumba, dia sudah boleh menduga siapa yang berpotensi atau tidak.

Oleh itu, terdapat pelumba yang disisihkan olehnya bukan kerana pilih kasih, sebaliknya ada bakat yang lebih baik untuk diketengahkan olehnya.

Mengenai isu pembayaran elaun, Joo Ngan berkata satu-satu pelumba perlu melengkapkan jumlah kehadiran bulanan untuk membolehkan mereka mendapatkannya.

Sebagai contoh, seorang pelumba haruslah sekurang-kurangnya hadir 18 sesi latihan selama sebulan.

"Ada pelumba yang cuma datang sekali, dua saja sesi latihan. Jika macam itu, macam mana nak layak dapatkan elaun?

"Seperkara lagi, saya bukannya menguruskan hal pembayaran ini, semuanya datang daripada persatuan," kata Joo Ngan.

Joo Ngan mengakui tidak sangka dia akan terpalit dalam isu sebegini walaupun sudah lama berkecimpung serta melahirkan ramai jagoan sukan berbasikal seperti Datuk Azizulhasni Awang, Hariff Salleh dan M. Kumaresan.

Katanya, ini adalah kali pertama namanya terpalit dalam kontroversi sedemikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram