MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penelitian akan dilakukan terhadap laporan Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai bandar kelima paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.
Beliau berkata, laporan Forbes Advisor itu bercanggah dengan Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) pada Jun lepas melaporkan Malaysia menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.
"Saya ambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Forbes. Apa pun analisis, komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman awam segalanya dalam tanggungjawab kami," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa.
BACA LAGI: Suspek ke-5 kes culik Albertine Leo direman 7 hari
BACA LAGI: Kes bunuh Nur Farah Kartini, polis jumpa kunci kereta, dompet dalam sungai Trolak
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri). — Facebook
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Forbes Advisor pada 19 Julai lepas yang menyatakan Kuala Lumpur telah menjadi bandar kelima paling bahaya untuk dilawati di Asia Tenggara.
Bandar-bandar lain yang tersenarai dalam kategori sama adalah Yangon, Myanmar; Manila, Filipina; Jakarta, Indonesia; Ho Chi Minh, Vietnam dan Bangkok, Thailand.
Saifuddin Nasution berkata, beliau tidak menafikan laporan Forbes Advisor namun belum meneliti secara terperinci laporan tersebut.
Menurutnya, kayu pengukur GPI itu jelas namun kayu pengukur Forbes Advisor perlu diteliti terlebih dahulu sebelum memberi ulasan lanjut. — The Star/RAHIMYRAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram