HANGAT khabar angin di media sosial diperkatakan, Ivan Mamut akan meninggalkan Terengganu FC (TFC) selepas dibelenggu masalah kecederaan sejak pramusim.
Meskipun menjadi tonggak utama Sang Penyu musim lalu, isu kecederaan tersebut menyaksikan dia tidak merekodkan sebarang penampilan buat TFC sepanjang 2024.
Susulan khabar angin tersebut, terdapat juga spekulasi yang mengatakan bahawa beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M), termasuk Penang FC, Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur (KL) City kini mahu mendapatkan khidmat pemain kelahiran Croatia itu.
BACA LAGI: Belum semusim dipasang, VAR dah buat Kedah, Perak, Sabah berputih mata
BACA LAGI: Sudah tahu siapa pencabar, Sabah tunggu masa umum import aksi AWCL
Ivan Mamut dikhabarkan akan dilepaskan dari pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu. — Instagram/ivanmamut31
Bagaimanapun, dengan masalah kecederaan yang kini dialami oleh Ivan, sudah tentu kelab-kelab berkenaan enggan berputih mata.
Ia berikutan apabila kecederaan yang dialami oleh Ivan dilihat semakin membimbangkan.
Meskipun begitu, sudah tiba masanya untuk kelab Liga M tersebut memberi kepercayaan kepada beberapa penyerang lokal dalam membantu mempertajamkan jentera serangan pasukan.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain Liga M yang patut diberi perhatian untuk beraksi sebagai penyudah pasukan masing-masing.
1. Alif Ikmalrizal
Nama pemain sayap Penang FC, Alif Ikmalrizal tiba-tiba mencuri tumpuan penyokong Harimau Kumbang khususnya selepas impak yang dihasilkan olehnya sebagai pemain gantian.
Alif Ikmalrizal muncul sebagai penjaring dalam kemenangan Penang ketika bertemu Perak FC aksi Liga Super pada 13 Julai lalu.
Meskipun hadir sebagai pemain gantian namun Alif berjaya mencipta nama dengan gol kedua yang dihasilkan olehnya itu di laman lawan.
Pemain sayap Penang FC, Alif Ikmalrizal. — Instagram/aliefeqmall_
Dalam pada itu, meskipun baru berusia 21 tahun namun impak yang dihasilkan oleh Alif sebagai penyerang sememangnya diperlukan oleh kelab.
Perlawanan keempat Liga Super itu sekali lagi membuka mata penyokong Harimau Kumbang bahawa Alif Ikmalrizal lebih layak mendapat posisi utama sebagai penyerang daripada pemain import, Rodrygo Dias.
Jika dibandingkan dari segi statistik, Dias yang dibawa masuk pada awal musim ini hanya mencetak satu jaringan gol untuk Penang meskipun diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam empat perlawanan Liga Super.
2. Lokman Bah Din
Penyerang muda Sri Pahang FC, Lokman Bah Din antara 'ubi muda' yang kini mencuri tumpuan dalam saingan Piala MFL 2024.
Meskipun baru sahaja lima perlawanan Piala MFL berlangsung namun rekod Lokman dalam aksi tersebut tidak boleh disangkal lagi.
Lokman Bah Din mencuri tumpuan dalam saingan Piala MFL 2024.
Lokman kini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak dengan sudah mencetak dua gol peribadinya.
Bukan itu sahaja, jika melihat kepada statistik 'shot on target', Lokman antara pemain yang menempah nama.
Meskipun beraksi untuk skuad Sri Pahang Bawah 23 Tahun (B-23) namun Lokman pernah mencipta sejarah sendiri dengan beraksi bersama skuad senior.
3. Haqimi Azim Rosli
Penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli sering mendapat perhatian penyokong bola sepak tanah air.
Memiliki ketinggian yang ideal sebagai seorang penyerang, Haqimi antara pemain The City Boys yang sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Sepanjang lima aksi Liga Super berlangsung, Haqimi sudah merekodkan satu jaringan peribadinya.
Penyerang skuad Harimau Malaya, Haqimi. — Instagram/qimirosli
Sudah tentu ketajamannya di depan pintu gawang sebagai penyudah amat ditagih oleh kelab Liga M.
Dalam pada itu, skuad Lembah Klang itu tidak sepatutnya bimbang dengan jentera serangan pasukan kerana mereka memiliki ubi muda yang cukup tajam untuk menggalas tugas tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram