AKSI derbi Lembah Klang menyaksikan Kuala Lumpur (KL) City FC berjaya mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya meraih kemenangan ke atas Selangor FC selepas lebih 26 tahun dalam aksi Liga Malaysia dengan jaringan tipis 1-0 pada Ahad.
Momentum cemerlang Gergasi Merah dalam kempen Liga Super 2024 'terhenti' seketika apabila The City Boys berjaya bergelar 'raja' baharu Lembah Klang.
Dalam perlawanan yang berlangsung di stadium lawan itu menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk mendapatkan jaringan.
BACA LAGI: Pemain JDT bersatu hati di bilik persalinan, saya boleh turunkan sesiapa saja — Hector Bidoglio
BACA LAGI: Milos Gordic ada masa kurang sebulan buktikan kemampuan jika enggan digantikan 3 calon ideal
Reduan berpendapat bahawa skuad kendalian Nidzam Jamil itu memiliki banyak peluang tapi tidak dimanfaatkan dengan baik.
Namun, KL City berjaya memecahkan kebuntuan jaringan menerusi pemain sayap kanan KL City, Jovan Motika pada minit ke-63 perlawanan.
Dalam pada itu, ramai penyokong mulai mempersoalkan gaya permainan Selangor FC apabila beraksi di laman lawan yang membawa kepada keputusan negatif.
Melihat kepada keputusan perlawanan sebelum ini, Selangor terpaksa akur apabila tewas 1-2 di tangan Kuching City FC bagi aksi pertama suku akhir Piala FA 2024 di Stadium Negeri, Sarawak dan baru-baru ini turut tumpas di Stadium Cheras.
Mengulas mengenai perkara tersebut, legenda Selangor FC, Reduan Abdullah berpendapat bahawa skuad kendalian Nidzam Jamil itu memiliki banyak peluang tapi tidak dimanfaatkan dengan baik.
Meskipun begitu, dia berpendapat bahawa dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Selangor sentiasa konsisten.
"Kalah menang tu adat permainan, kalau tengok pada perlawanan away selalu tak dapat keputusan yang baik tapi pendapat saya, Selangor konsisten dalam setiap game.
"Mungkin ada sedikit sebanyak kesilapan yang dilakukan oleh Selangor sehingga pihak lawan dapat menjaringkan gol tapi apa yang saya nampak masa game lawan KL, Selangor banyak peluang tapi tidak dapat dimanfaatkan dengan baik.
"Ada banyak peluang tapi Selangor tak dapat manfaatkan dengan baik," katanya kepada Majoriti.
Reduan berkata, pengendali The Red Giants itu perlu melakukan sesuatu bagi mengelakkan Selangor terus tunduk di laman lawan.
Menurutnya lagi, Selangor sememangnya memiliki banyak peluang dalam melakukan serangan namun penyudah yang kurang tajam di barisan hadapan menjadi punca skuad itu gagal mencetak gol.
"Jurulatih perlu mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang sering dilakukan oleh Selangor agar tidak berulang pada game seterusnya.
"Selangor banyak melakukan serangan namun tidak disudahkan dengan baik oleh penyudah mereka. Bukan kata Selangor tiada peluang, peluang itu ada cuma tiada penyudah," ujarnya.
Reduan yang juga merupakan bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya itu berpandangan agar Selangor perlu menajamkan penyudah jentera serangan.
"Selangor pula tajamkan penyudah mereka kalau tak nak pihak lawan ambil kesempatan untuk menjaringkan gol.
"Selangor kena cari penyudah yang baik dan apabila ada peluang untuk menjaringkan gol, mereka pula menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.
"Kalau kita ada peluang tapi tiada penyudah sama juga, jadi penyudah yang tajam ketika ini amat diperlukan oleh Selangor," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram