Peragut bersiri Seremban target pejalan kaki dan penunggang motor akhirnya dicekup, ada 13 rekod jenayah


  • 112
  • Isnin, 15 Jul 2024

Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut 393 Kanun Keseksaan. — Facebook/BalaipolisSeremban

JERITAN mangsa meminta tolong dan bergelut dengan suspek yang cuba meragutnya membawa kepada penahanan seorang lelaki dalam kejadian di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam itu menyaksikan mangsa turut dibantu orang awam yang mendengar jeritannya sebelum suspek berusia 46 tahun itu ditahan dan diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah.

BACA LAGI: [VIDEO] Perkelahan bertukar tragedi, 2 remaja lemas ketika bermandi-manda di Air Terjun Jami

BACA LAGI: [VIDEO] Terperanjat disaman anggota Majlis Bandaraya Diraja Klang tak sampai sesaat parkir kereta

“Seorang lelaki berumur 39 tahun memaklumkan ketika sedang menunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Sikamat, dikatakan didatangi suspek yang juga menunggang motosikal dan cuba meragut beg silangnya.

“Mangsa kemudiannya dipercayai menjerit meminta tolong serta cuba menghalang tindakan suspek dan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

“Hasil bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, suspek adalah penduduk tempatan dan mempunyai 13 rekod membabitkan jenayah samun, mendatangkan kecederaan, perbuatan khianat dan dadah.

“Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut 393 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya lelaki ini, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes ragut yang menyasarkan mangsa sedang berjalan kaki dan menunggang motosikal di sekitar kawasan daerah Seremban,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram