LEGENDA Sabah, Matlan Marjan menaruh harapan agar pasukan Sabah FC meraih sekurang-kurangnya satu mata menjelang aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2024 pada Sabtu.
Meskipun Sabah ketika ini terpalit dengan isu gaji namun Matlan berharap agar masalah tersebut tidak mengganggu fokus pemain.
Menurutnya, skuad Sang Badak perlu meletak sasaran dengan meraih keputusan seri dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Likas, kota Kinabalu, Sabah.
BACA LAGI: [VIDEO] Bimbang keselamatan anak punca Nunez tumbuk fans Colombia, mungkin kena ban beraksi bersama Liverpool
Matlan merupakan salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki skuad Sang Badak. — Agensi
"Saya rasa kalau dapat seri syukurlah. Jangan kalah sampai 3-0. Lagi-lagi lawan JDT macam mana boleh menang, nampak sukarlah Sabah mahu menang," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai kemelut dalaman Sang Badak yang ketika ini hangat diperkatakan, Matlan menggangap masalah tersebut sebenarnya memberi kesan kepada prestasi dan moral Sang Badak.
"Ya, memang moral kita sudah jatuh, dalam padangkah, luar padangkah sudah jatuh semua," ujarnya.
Bercakap mengenai persembahan Sang Badak yang kurang memuaskan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, legenda Sabah itu bagaimanapun mahu Sabah tetap fokus di atas padang meskipun memiliki peluang tipis.
Kim Swee (kiri) disarankan agar menurunkan kesebelasan utama terbaik bagi aksi berdepan JDT. — Facebook/Sabahfc
"Itulah, susah juga nak cakap sebab kebetulan juga sekarang Sabah kena lawan team yang keras ni. Kalau kalah lagilah kita teruk.
"Bukan bilang tiada harapanlah. Tapi memang sukarlah, semua tahu memang tiada harapan mahu menang sebenarnya.
"Tapi memang payah. Sebab pertama kita jumpa team yang sudah kuat dan sekarang kita ada problem, jadi kalau kita tidak berhati-hati main, susah lagi," jelasnya.
Sabah yang akan menerima kunjungan Harimau Selatan itu disarankan agar mampu mengimbangi perlawanan dengan menurunkan skuad utama pasukan itu.
"Pendapat saya, Datuk Ong Kim Swee patut turunkan skuad yang terkuat, sebab kita mahu lawan JDT, jadi kita kena seimbangkan perlawanan.
"Tapi apa-apa pun yang penting serilah, tu pun sudah memadai," kongsinya.
Untuk rekod, Sabah kini menduduki tangga keempat Liga Super dengan mencatatkan tiga kemenangan dengan mengutip tujuh mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram