[VIDEO] Kaki pemain muda Brazil berlubang, ditembak polis tepi padang


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Souza sedang mengerang kesakitan selepas ditembak menggunakan peluru getah itu. — X/Selacaotalk

MASA depan seorang pemain muda Brazil semakin suram apabila seorang anggota polis tergamak menembak kaki pemuda berkenaan selepas perlawanan kelabnya, Gremio Anapolis menang 2-1 ke atas Centro Oeste di Stadium Jonas Duarte, Anapolis, Brazil pada Jumaat.

Anggota Specialised Policing Company (CPE) itu difahamkan menggunakan peluru getah dengan tindakan itu dibuat untuk menenangkan situasi kekecohan yang berlaku selepas kemenangan pasukan Gremio Anapolis.

Menerusi rakaman tular berdurasi sembilan saat di lama Twitter (X), anggota polis yang sepatutnya bertugas mengawal situasi di stadium itu dirakam melepaskan tembakan di kaki penjaga gol itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Budak pasang impian beraksi bersama Brazil maut ditembak depan ayah pada hari lahir ke-9

BACA LAGI: [VIDEO] Bimbang keselamatan anak punca Nunez tumbuk fans Colombia, mungkin kena ban beraksi bersama Liverpool

Selepas tembakan tersebut, emosi anggota keselamat itu juga masih tidak terkawal apabila dia dilihat turut memberi amaran kepada pemain lain sambil mengacu pistol ke arah mereka.

Memetik laporan dari Dailymail UK, penjaga gol berkenaan merupakan Ramon Souza dan pemain itu kemudian sempat dirawat oleh doktor pasukan sebelum diberikan bantuan kecemasan semasa dalam ambulans menuju ke hospital.

Laporan awal turut menyatakan bahawa penjaga gol muda tersebut akan berehat panjang selepas ini kerana kecederaan dialaminya.

Dalam pada itu, Gremio Anapolis menyatakan kekesalannya terhadap keganasan polis berkenaan dan berikrar untuk mengambil langkah sewajarnya supaya individu yang bertanggungjawab dihukum, selain keadilan dapat ditegakkan.

Kelab berkenaan turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan kaki Souza selepas ditembak oleh anggota keselamatan tersebut dan kelihatan kesan luka pada kaki pemain berkenaan.

Susulan kejadian menyayat hati itu, ramai penyokong negara yang melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Ronaldo, Neymar dan Ronaldinho itu melahirkan perasaan kecewa dengan mutu keselamatan di Brazil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram