TUMPUAN peminat bola sepak tanah air akan kembali kepada saingan Liga Super 2024 yang bersambung Jumaat nanti.
Selepas hampir sebulan berhenti rehat untuk memberi laluan kepada beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) yang bersaing di Piala FA, saingan Liga Super pasti dinanti-nantikan seluruh penyokong tanah air.
Dua perlawanan yang akan berlangsung Jumaat ini melibatkan pertembungan Kuching City FC bertemu PDRM FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan Kelantan Darul Naim (KDN).
BACA LAGI: 'Agak sukar untuk MFL betul-betul laksanakan FFP'
Habib Haroon (dua kanan) bersama-sama skuad Sang Kenari dalam sesi latihan sebelum berdepan cabaran KDN FC. — Facebook/KDA FC
Pastinya pertembungan antara Sang Kenari berdepan Kijang Hijau amat dinantikan peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Jelapang Padi lebih-lebih lagi aksi tersebut berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah.
Kedah yang berjaya meraih slot ke separuh akhir Piala FA selepas menang 1-0 secara agregat berdepan Penang dilihat berada dalam momentum terbaik ketika ini dan pastinya mengekalkan rentak kemenangan.
Meskipun begitu, Sang Kenari diseru agar tidak mengambil mudah cabaran Kelantan berikutan skuad kendalian Park Jaehong itu turut berada dalam momentum terbaik ketika ini.
Kelantan sebelum ini mengejutkan penyokong tanah air selepas meraih kemenangan sulung dengan menewaskan PDRM FC 1-0 pada 23 Jun lalu.
Dengan kemenangan sulung itu, Kelantan berpotensi untuk membuat kejutan ke atas Kedah pada Jumaat nanti.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain ada keupayaan membantu Sang Kenari membenam Kelantan.
Kelincahan Faiz (tengah) pastinya ditagih Nafuzi untuk membantu membenam Kelantan. — Facebook/KDA FC
1. Faiz Nasir
Pemain bertubuh kecil, Faiz Nasir antara wajah baharu yang direkrut Kedah bagi musim ini bagi membantu memperkuatkan bahagian sayap Sang Kenari.
Pemain lincah atau terkenal dengan julukan Messi Ganu itu merupakan pinjaman daripada Terengganu FC.
Dalam pada itu, kehadiran pemain sayap licik itu dijangka mampu membantu Kedah menewaskan Kelantan berikutan memiliki kelebihan sebagai pemain lincah.
Meskipun hanya tampil satu aksi dalam Liga Super, kehadiran Faiz berpotensi untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan KDN FC sekali gus membantu menambah jaringan dalam liga.
Muncul wira aksi Piala FA, khidmat Hasbullah ditagih bantu Sang Kenari raih tiga mata. — Facebook/KDA FC
2. Hasbullah Abu Bakar
Hasbullah Abu Bakar merupakan pemain baharu Sang Kenari bagi musim ini kerana kemampuannya dalam memberi sengat di bahagian tengah.
Hasbullah yang beraksi sebagai pemain tengah merupakan rekrut dari Negeri Sembilan FC sebelum menabur bakti bersama Sang Kenari.
Pemain berusia 29 tahun itu tampil cemerlang bersama KDA FC selepas membantu skuad kendalian Nafuzi Zain mara ke separuh akhir Piala FA.
Jaringan tunggal Hasbullah itu pastinya akan diingati oleh penyokong Jelapang Padi itu kerana memastikan Sang Kenari selangkah ke pusingan seterusnya.
Dalam pada itu, Hasbullah berpeluang sekali lagi membantu Sang Kenari untuk meraih kemenangan dengan menewaskan Kelantan.
Irfan Zakaria juga mahu dapatkan sebanyak boleh minit permainan bersama Kedah. — Facebook/KDA FC
3. Irfan Zakaria
Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Irfan Zakaria memilih untuk menyertai Sang Kenari musim ini bagi membantu benteng pertahanan KDA FC.
Sebelum ini, Irfan pernah menabur bakti bersama Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Kehadiran Irfan dijangka mampu membantu benteng pertahanan Sang Kenari yang kini dilihat dalam keadaan kurang memuaskan.
Setakat empat perlawanan liga berlangsung, Kedah sudahpun dibolosi sebanyak tiga kali dan ia merupakan jumlah jaringan yang kurang baik.
Kemampuan Irfan menjaga rapi benteng KDA FC terbukti ketika diturunkan sebagai bek tengah dalam aksi berdepan Bukit Tambun yang menyaksikan tiada bolos dalam aksi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram