
KEDAH Darul Aman FC berjaya meraih slot ke separuh akhir Piala FA 2024 dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan menentang Penang FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain sebelum ini melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC menerusi jaringan Hasbullah Abu Bakar pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 28 Jun lalu.
Pastinya kegembiraan itu turut dirasai oleh penyokong setia Sang Kenari yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu.
BACA LAGI: Dah 'pecoh telor', fans puji kegigihan Mat Yat bantu TFC ke semifinal
BACA LAGI: Nabil Latpi kurang mengancam, bekas striker Perak antara 3 calon lokal sesuai buat Penang
Azhar bersama ahli keluarganya. — Facebook/Azharzakaria
Ini dapat disaksikan dengan kehadiran lebih 16,000 penyokong di Stadium Darul Aman, Kedah dengan majoriti daripadanya merupakan pengikut setia skuad Sang Kenari.
Malah, salah seorang daripada mereka memiliki satu kisah cukup menarik untuk dikongsikan kerana sanggup hadir ke venue perlawanan meskipun kini menetap di Lembah Klang.
Azhar Zakaria nama diberi, merupakan penyokong setia KDA FC yang tidak henti-henti memberi sokongan dari segi kewangan mahupun titik peluh.
Difahamkan, Azhar yang kini menetap di Rawang, Selangor itu membeli pas bermusim sanggup datang jauh ke Kedah untuk menyaksikan sendiri perlawanan antara Kedah dan Penang aksi baru-baru ini.
Penyokong setia Sang Kenari, Azhar Zakaria (tengah).
Menurutnya, sekiranya terdapat aksi yang berlangsung di Lembah Klang, dia akan turun memberi sokongan.
"Sekarang saya tinggal di Lembah Klang, biasanya saya akan tengok kalau game yang dekat seperti di Lembah Klang, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
"Tapi untuk game home, ia merupakan kali pertama saya ke Darul Aman untuk tahun ini. Sebelum duduk Lembah Klang, memang saya tak akan terlepaslah game home," katanya kepada Majoriti.
Azhar yang juga mesra disapa Ad itu turut berkongsikan sedikit pengalamannya yang pastinya sukar dilupakan.
"Kalau kena redah hujan dan tiket habis itu perkara biasalah, kalau dulu ramai penyokong yang datang tapi sekarang agak kuranglah jika nak dibandingkan.
"Tapi kita sebagai penyokong, kena tetap sokong pasukan kita, kalau bukan kita siapa lagi kan?", ujarnya.
Azhar ketika mengambil gambar kenangan di tempat duduk penyokong. — Facebook/Azharzakaria
Tambah ayah kepada tiga orang cahaya mata itu, ahli keluarganya kini turut memberi sokongan kepada pasukan Kedah.
"Sekarang saya bergerak dengan keluarga, isteri dan anak-anak pun ikut sekali tengok bola," katanya.
Ditanya mengenai kesanggupan membeli pas bermusim, Azhar yang merupakan anak jati kelahiran Pokok Sena, Kedah itu mendedahkan bahawa niatnya mahu membantu kewangan Kedah.
"Salah satunya memang minatlah dengan bola sepak dan yang kedua memang niat kita nak bantu dana kewangan pasukan sebab dari awal musim kita tahu dana pasukan terumbang-ambing.
"Jadi, untuk cinta kepada negeri jadi kita belilah," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram