
KEDAH Darul Aman (FA) tersenyum lebar apabila mara ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan menentang Penang FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain sebelum ini melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC menerusi jaringan Hasbullah Abu Bakar pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang 28 Jun lalu.
Kekentalan benteng pertahanan Sang Kenari yang dijaga rapi oleh bek tengah, Jose Cleylton dos Santos dan Irfan Zakaria membuahkan hasil meskipun jentera serangan Harimau Kumbang melakukan serangan bertali arus.
BACA LAGI: Nabil Latpi kurang mengancam, bekas striker Perak antara 3 calon lokal sesuai buat Penang
BACA LAGI: Selangor FC upah peguam heret MFL ke mahkamah timbang tara
Sebahagian aksi menarik antara pemain Sang Kenari dan Harimau Kumbang ketika aksi timbal Piala FA Jumaat lalu. — Facebook/MFL
Dengan Kedah mara ke separuh akhir, ia merupakan pencapaian manis apabila kali terakhir layak ke pusingan tersebut adalah pada musim 2019.
Dalam pada itu, pengendali Sang Kenari, Nafuzi berasa lega apabila anak-anak buahnya berjaya mengharungi cabaran Harimau Kumbang.
"Alhamdulillah terima kasih kepada pemain, saya rasa perlawanan sangat sukar walaupun bermain di tempat sendiri, saya tahu berbekalkan satu jaringan adalah situasi agak mendebarkan untuk kita bertahan.
“Kami menguasai permainan dan mencipta banyak peluang untuk menyerang, tetapi pujian harus diberikan kepada benteng pertahanan yang sudah bekerja keras menjaga pintu gawang," katanya.
Dengan kemenangan tipis itu, KDA FC akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada separuh akhir dan Nafuzi tidak sabar untuk memberi cabaran kepada Harimau Selatan.
“Ia akan menjadi pertemuan yang menarik. Semua orang mahu menentang pasukan yang baik malah anak-anak buah saya pun tidak sabar kerana mahu memberikan yang terbaik dan menunjukkan kemampuan mereka.
"Saya menantikan perlawanan itu," ujarnya.
Pusingan pertama separuh akhir akan diadakan di Stadium Darul Aman pada 20 Julai dan perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim 3 Ogos nanti. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram