PENJAGA gol utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi berharap kenangan pahit disingkirkan Penang FC dalam saingan Piala FA 2023 tidak berulang.
Meskipun kapten pasukan Sang Kenari ketika itu, Manuel Ott meletakkan KDA FC di hadapan pada minit kesembilan namun impian untuk mara ke pusingan seterusnya tidak kesampaian.
Ia berikutan apabila Penang menerusi jaringan Giovane Gomes dan Soony Saad minit ke-22 dan ke-68 berjaya menyemarakkan semangat Harimau Kumbang untuk bangkit.
BACA LAGI: 'Aneh dan kebetulan', calon penaja utama Kedah hairan 'diserbu' Kastam, LHDN berturut-turut
BACA LAGI: [VIDEO] Sabah, Selangor jangan kecewa dahulu, ini 3 'comeback' epik dalam Piala FA
Ketajaman Ebenezer Assifuah ditagih bagi membantu Sang Kenari layak ke pusingan separuh akhir Piala FA 2024. — Facebook/KDAFC
Meskipun begitu, Sang Kenari berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Ott pada minit-minit akhir yang sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Kedah terpaksa menelan pahit apabila penjaga gol Penang ketika itu, Shafiq Afifi Suhaimi menafikan penalti Lee Tuck dan Bojan Ciger.
“Ya, tahun lepas kita kalah dengan Penang juga. Insya-Allah, tahun ini kita akan buat yang lebih baik di depan penyokong sendiri. Kita harap kemenangan milik Kedah,” katanya kepada Nadi Bola.
Meskipun memiliki kelebihan agregat tipis 1-0 menerusi jaringan Hasbullah Abu Bakar minit ke-74 yang diraih pada 28 Jun lalu, Kalamullah berharap rakan-rakan sepasukannya dapat kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan agar kenangan pahit musim lalu tidak berulang.
"Kami berharap agar dapat menjaringkan lagi gol di Kedah, lebih-lebih lagi akan beraksi di laman sendiri.
"Saya juga berharap agar rakan sepasukan memberi fokus sepenuhnya aksi timbal ini sebab meskipun menang 1-0 tapi macam-macam boleh terjadi dalam masa 90 minit.
"Insya-ALLAH, dengan fokus dan kerja keras pasukan kami akan ke separuh akhir Piala FA nanti," katanya.
Sang Kenari bakal berdepan Harimau Kumbang untuk aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 di Stadium Darul Aman. Kedah mengharapkan sokongan padu 25,000 penyokong untuk aksi ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram