ISU gaji terus menghurung kelab-kelab Liga Super musim ini dengan kira-kira separuh daripada 13 pasukan bertanding berdepan masalah yang berulang saban tahun itu.
Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang mengalaminya pada 2023 dikhabarkan sekali lagi berada dalam kemelut sedemikian.
Selain itu, Perak FC yang merupakan salah sebuah kelab model tempatan juga terpalit dengan isu tersebut dengan laporan menyebut pemain tidak mendapat bayaran penuh bulan lalu.
BACA LAGI: Saya pelik Pahang ada masalah gaji — Gopi Rizqi
BACA LAGI: Dikhabar bermain 5 bulan tak dapat gaji, pengurusan Sri Pahang terus menyepi
Penyokong akan berasa muak dengan isu gaji sekiranya terus berulang. — Facebook/KDA FC
Malah, lebih mengejutkan adalah apabila terdapatnya pendedahan di media sosial pemain lokal Sri Pahang FC yang mengatakan kelab Pantai Timur itu merupakan 'mangsa' terbaru dalam masalah berkenaan.
Isu terbabit sekali gus membangkitkan persoalan kerana orang ramai mula bertanya, apakah yang menyebabkan kesukaran untuk pihak berkuasa mengelakkan kemelut tunggakan gaji berulang setiap tahun?
Ada yang beranggapan perubahan jadual Liga Super musim ini sebagai salah satu punca kerana setiap kelab perlu menanggung kos latihan sepanjang sesi pramusim tanpa sebarang pulangan.
Selain itu, sebahagian penyokong mula berasakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu bertanggungjawab kerana tidak mempunyai satu garis panduan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Tetapi, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, perubahan tarikh Liga Malaysia mahupun pendirian MFL sendiri bukanlah punca di sebalik masalah kewangan tersebut.
Zulakbal beranggapan perubahan jadual Liga Malaysia bukanlah punca utama.
"Sepatutnya kelewatan ini memberikan lebih banyak masa untuk setiap kelab mencari dana dan memperkukuhkan kewangan mereka daripada pelbagai sumber, termasuklah penajaan dan merancang strategi pemasaran kelab masing-masing.
"Memang MFL boleh lebih tegas dalam soal ini tetapi ia akan membawa impak yang lebih merisaukan kepada liga tersebut sendiri," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, terdapat pelbagai faktor lain yang menyaksikan masalah tersebut berulang, termasuk pentadbiran tidak cekap daripada badan pengurusan kelab masing-masing dan struktur organisasi tidak kukuh.
"Mungkin satu atau dua kelab sahaja mempunyai struktur organisasinya yang kukuh sambil turut dibantu kerajaan negeri. Kedua, kelabnya profesional tetapi tidak diurus tadbir secara profesional oleh mereka yang profesional.
"Selain itu, ketiadaan aset dan fasiliti tersendiri juga merupakan faktor masalah kerana terpaksa menyewa serta meningkatkan liabiliti berhutang," katanya lagi.
Zulakbal menegaskan isu kewangan berpunca daripada pengurusan tidak cekap.
Perkara itu turut diakui seorang lagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim yang menegaskan tarikh mula liga tidak memainkan peranan dalam masalah tersebut.
"Pihak pengurusan sudah tentu ada perancangan awal untuk mengatur perbelanjaan masing-masing tanpa mengira bilakah liga bermula sama ada awal atau tidak. Saya tidak fikir itu satu alasan.
"Kita juga tidak mahu mengharapkan MFL ambil tindakan tegas dan sebaliknya, tetapi pemilik dan pengurusan kelab perlu memiliki tanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan gaji. Jangan hanya berharap pihak berkuasa bertegas, barulah nak bayar," katanya.
Zulakbal turut beranggapan masalah itu timbul berikutan keengganan pihak pengurusan untuk mengetahui kebolehan dan struktur kewangan kelab sebelum membuat perbelanjaan.
Jadi, dengan pelbagai punca sudah dibincangkan, adakah kelab Liga Super akan akhirnya membuka mata dan menyedari akan hakikat di sebalik masalah tersebut?
Melihat kepada kes terdahulu, masing-masing hanya akan mendiam diri dan menantikan keajaiban pada penghujung musim sehingga pemain dan staf pasukan menjadi mangsa kerana kebajikan masing-masing terus terabai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram