[VIDEO] Kuching City tiada ubat, legenda Selangor pilih bek Nigeria jadi MVP


  • Podium
  • Ahad, 30 Jun 2024

Okwuosa (berjersi 35) menjadi watak utama ketika skuad The Cats memberikan kejutan terhadap Selangor FC. — Facebook/Kuching City FC

KUCHING City FC buktikan walaupun mereka bukan pasukan pilihan namun berhasil membuat kejutan apabila menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Negeri Sarawak, Kuching pada Sabtu.

Kekalahan berkenaan nyata mengejutkan penyokong bola sepak domestik lagi-lagi Gergasi Merah kini berada dalam prestasi terbaik dalam saingan Liga Super dan hanya merekodkan satu sahaja bolos.

Dalam perlawanan berkenaan, pasukan pelawat terlebih dahulu bergembira apabila jaringan gol dari Ronnie Fernandez meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-31 permainan.

BACA LAGI: Rekod cemerlang Selangor tercalar, Jordan Mintah cipta kejutan

BACA LAGI: Fans tak berlapik kritik teguran Sultan terhadap isu Selangor FC-MFL

Namun begitu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak juga nyata ingin membawa bekalan selesa ke bilik persalinan apabila kapten tuan rumah, James Okwuosa mencuri kelebihan daripada situasi bola muntah.

Kemenangan skuad The Cats disahkan apabila kesilapan Sharul Nazeem Zulpakar dimanfaatkan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah bagu meletakkan Kuching Ciyt melakar kebangkitan pada minit-minit akhir.

Persembahan cemerlang dari pasukan Borneo tanah air berkenaan juga mendapat pujian daripada legenda Selangor, Datuk Zainal Abidin Hassan memilih Okwuosa sebagai pemain terbaik perlawanan.

Bek Nigeria berkenaan menambat hati Zainal Abidin dek kecemerlangannya mengunci segala pergerakan Ronnie sehingga penyerang tengah Selangor itu gagal untuk menambah jaringan.

"Bagi saya James Okusa adalah MVP (pemain terbaik perlawanan). Dia dapat menjalankan dua tugas, yang pertama tidak memberi semudah-mudahnya memberi Selangor membolosi lagi satu gol.

"Yang kedua ketika dia menjaga penyerang berbahaya Selangor, kita dapat tengok Ronnie tidak dapat bergerak atau bermain terutama pada separuh masa kedua. Memang tight marking daripada James," katanya ketika mengulas perlawanan itu di Astro Arena.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan bin Talaha atau lebih dikenali sebagai Matyo pula memberi kredit kepada seluruh pemain The Cats susulan kerjasama baik daripada mereka sebagai satu pasukan.

MINTAH

Mintah menjaringkan gol kedua untuk The Cats. — Facebook/Kuching City FC

"Mula-mula saya nak pilih James tapi saya tengok prestasi James di minit-minit akhir dia ada terlepas clearance hampir Selangor jaringkan bola semasa yang kena palang.

"Untuk saya semua pemain Kuching City kerana mereka bermain satu pasukan. James buat silap, yang lain akan cover jadi bagi saya satu pasukan Kuching City memberi persembahan terbaik," tambahnya.

Pasukan Lembah Klang berkenaan perlu mengatasi kelebihan agregat itu pada 6 Julai ini di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor jika ingin mara ke separuh akhir Piala FA 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram