Akur titah Sultan Selangor, MFL kurangkan denda, batal pemotongan 3 mata Gergasi Merah


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Pengurangan denda terhadap Selangor FC antara keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL. — Gambar hiasan

AHLI Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) pada Khamis mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat sebelum ini ke atas Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 10 Mei lalu.

MFL berkata, pertimbangan semula itu dibuat sebagai tanda menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.

Antara keputusan yang ditetapkan MFL adalah pengurangan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 serta bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

BACA LAGI: Sultan Selangor murka keputusan MFL, Shahril Mokhtar letak jawatan dalam FAM

BACA LAGI: Rumah Biru di Kampung Baru KL rupanya tak dirobohkan tapi kena pindah tempat lain

449357448_491177639970891_324569329867211066_n

MFL membuat keputusan itu sebagai tanda hormat kepada titah Sultan Selangor. — MFL

Menurutnya, MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

"Selain itu, pemotongan tiga mata terhadap Selangor FC dalam perlawanan Liga Super 2024/2025 juga dibatalkan.

"Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib serta hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan," katanya dalam dalam satu kenyataan pada Khamis.

MFL juga memaklumkan bahawa penonton dibenarkan untuk hadir ke perlawanan Liga Super (LS14) yang menyaksikan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor nanti.

"Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga hari bermula Khamis seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia," jelasnya.

2769368

Sultan Selangor murka dengan keputusan MFL yang menjatuhkan hukuman terhadap Selangor FC yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, Sultan Selangor menyuarakan rasa dukacita dengan keputusan yang dikeluarkan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memberikan hukuman kepada Selangor FC.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat murka dengan keputusan MFL yang dianggap tidak bertanggungjawab atas keputusan Gergasi Merah meminta perlawanan Piala Sumbangsih ditangguh.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar meletakkan jawatan dalam FAM berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Shahril, yang meletakkan jawatan sebagai exco FAM menganggap pentadbir sukan berkenaan di negara ini tiada empati terhadap orang lain.

"Melihat kepada situasi bola sepak semasa, penaung Selangor FC, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut menzahirkan rasa kecewa. Ia sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan hala tuju pengurusan bola sepak," kata Shahril. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram