PASUKAN bola sepak bukan hanya dibuat semata-mata ingin merangkul trofi bermusim-musim, namun juga perlu memainkan peranan menjadi kelab yang dekat dengan penyokongnya.
Begitulah yang Gergasi Merah lakukan terhadap para penyokong apabila menyantuni dua beradik Ng Ho Wie, 8, dan Ng Ho Race, 9, kerana aktif bermain bola sepak untuk menikmati pengalaman istimewa di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.
Momen meluang masa bersama pemain dan barisan kejurulatihan di MBPJ itu pastinya dapat menggembirakan kedua-dua beradik berkenaan serta dapat memberikan lebih dorongan buat mereka untuk terus bermain bola pada masa akan datang.
BACA LAGI: 'Kita lawan perosak bola sepak', dari ADUN ke fans kelab Liga Super semua bersatu demi Selangor
BACA LAGI: Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ
Pengalaman manis dan layanan baik yang diberikan Selangor nampaknya berbaloi apabila giliran dua beradik dengan gelaran Upin Ipin itu pula membalas jasa baik Gergasi Merah.
Menerusi hantaran di laman Facebook ayah mereka, Ng Chee Kean, dua beradik itu sanggup mengeluarkan wang tabungan mereka demi membantu Selangor membayar denda yang diberikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Upin Ipin ada tabung free kick. Mereka kata nak derma ke Selangor FC tolong bayar denda MFL sikit-sikit. Kalau tak cukup mereka akan buat lagi free kick gol. Mereka mahu membantu Selangor sebagaimana Selangor sentiasa membantu mereka.
"Kepada Liga Bola Sepak Malaysia, ambil duit budak-budak yang susah payah kumpul tiap-tiap hari dari latihan bola sepak," tulis Chee Kean di laman Facebook pada Selasa.
Untuk rekod, Chee Kean yang berasal dari Puchong, Selangor melatih Ho Race dan Ho Wie untuk menjadi pemain bola, selain turut menghantar mereka ke Sekolah Bola Sepak Selangor FC bagi tujuan mengasah bakat.
Pada Selasa, Selangor FC yang kini berada di kedudukan teratas liga dirampas apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bertindak untuk memotong tiga mata sebagai hukuman gagal menghadirkan diri ke perlawanan Piala Sumbangsih pada awal musim 2024/2025.
Selangor turut menerima hukuman denda serta perlu beraksi tanpa kehadiran penyokong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan kedua Liga Super nanti.
Derita Gergasi Merah bertambah apabila MFL mengambil keputusan mendenda Selangor sebanyak RM100,000, selain perlu dihukum perlu membayar ganti rugi kepada skuad Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram