PEMAIN boling wanita negara, Sin Li Jane mencipta sejarah tersendiri selepas muncul atlet Malaysia pertama memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat di Royal Pin Woodland, Indianapolis.
Pemain berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang pada Selasa untuk merangkul kejuaraan selepas menewaskan pemain Latvia Diana Zavjalova 226-214 pada perlawanan akhir ‘stepladder’.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Li Jane menjadi wakil Asia kedua memenangi kejohanan tersebut selepas Shinobu Saitoh dari Jepun pada 1982.
BACA LAGI: [VIDEO] Kritik padang di Jerman tak halang Belanda tundukkan Poland
BACA LAGI: [VIDEO] June Wei muncul juara Piala Lin Dan, julang nama Malaysia di China
Li Jane (kiri) mencipta sejarah tersendiri selepas muncul atlet Malaysia pertama memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat. — Facebook
Kejohanan itu mula diperkenalkan pada 1949 dan pencapaian terbaik pemain boling Malaysia sebelum ini adalah menerusi Shalin Zulkifli yang menduduki tempat ketiga pada 2008.
Selaku juara, Li Jane membawa pulang hadiah wang tunai AS$60,000 (kira-kira RM282,900) selain jaket hijau kejuaraan dan trofi, manakala naib juara menerima AS$30,000 (kira-kira RM141,500).
Sebelum ini, Li Jane turut merangkul kejuaraan Terbuka Journal Rockford dan Greater Nashville Classic di AS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram