Rezeki berganda, ASTAF tawar PSM anjur Piala Asia 2025


  • Podium
  • Rabu, 19 Jun 2024

PSM ditawar untuk menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 selepas cemerlang mengendalikan Piala Dunia 2024. — Facebook/PSM

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) menawarkan hak penganjuran kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang diperkenalkan ASTAF buat julung kalinya.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, tawaran berkenaan dibuat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF dalam mesyuaratnya di Bangkok, Thailand baru-baru ini sebulat suara membuat keputusan melantik Malaysia selaku tuan rumah bagi kejohanan tersebut.

Justeru, beliau berharap agar badan induk sukan yang diterajui Datuk Sumali Reduan dan Majlis Tertinggi PSM itu dapat mempertimbangkan tawaran terbabit dengan sebaiknya.

BACA LAGI: Rejaman kejam, winning mentaliti Malaysia malukan Thailand di Piala Dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Hatrik gagal dicapai, penantian 33 tahun Malaysia 'sapu bersih' Piala Dunia Takraw berkecai

WhatsApp Image 2024-06-19 at 15.27.06

Skuad sepak takraw negara dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023. — Facebook/PSM

Abdul Halim berkata, faktor utama Malaysia diberi kepercayaan ditawarkan penganjuran Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal antaranya Malaysia berjaya menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan cemerlang pada 16 hingga 26 Mei lalu.

Menurutnya, komitmen tinggi daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memainkan peranan penting dalam memastikan penganjuran pertandingan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Apa yang lebih mustahak adalah keprihatinan Hannah Yeoh yang membolehkan PSM merealisasikan matlamat pelaksanaan penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 melalui pemberian geran penajaan sukan berjumlah RM1 juta.

“Kejohanan yang julung kalinya diadakan ini bertujuan menjadikannya sebagai medan ujian bagi negara-negara yang akan terlibat dengan Sukan SEA Bangkok, Thailand 2025,” katanya.

Abdul Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkata, format bagi tiga acara akan dicadangkan kepada Federasi Sukan SEA di Bangkok melibatkan acara regu berpasukan, regu, double dan quadrant. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram