Lakar sejarah sendiri, Natasha fokus sasaran baharu di Thailand Open dan Asian Championships


  • Podium
  • Rabu, 19 Jun 2024

Atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menetapi ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023. — Instagram/natasharoslan_

TAK lekang senyuman manis di bibir atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan selepas dinobatkan Olahragawati Kebangsaan 2023 pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang diadakan di Majlis Sukan Negara pada 13 Jun lalu.

Kejayaan Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dengan memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait pada Oktober lalu nyata memberi impak positif kepada kariernya.

Natasha berjaya mengatasi cabaran empat pencabarnya iaitu bintang skuasy negara, S.Sivasangari, Nur Amisha Azrilrizal (muay thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

BACA LAGI: Rezeki berganda, ASTAF tawar PSM anjur Piala Asia 2025

BACA LAGI: Sin Li Jane atlet Malaysia pertama muncul juara Terbuka Wanita AS

WhatsApp Image 2024-06-19 at 20.46.19

Atlet kelahiran Selangor itu menyifatkan ia sebagai satu kemenangan yang begitu bermakna untuk dirinya kerana tidak menyangka akan dipilih menjadi atlet terbaik bagi tahun 2023. Facebook/MSN

Natasha menganggap kejayaan berkenaan sebagai motivasi untuk dirinya terus melakar kejayaan di persada dunia selepas ini.

Menurutnya lagi, anugerah yang diperoleh itu membuatkan dia semakin semangat untuk mempamerkan aksi terbaik dan sasaran utamanya ketika ini adalah tampil cemerlang di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-27 di Bangkok, Thailand pada September nanti.

"Saya akan melakukan yang terbaik dalam kejohanan terdekat iaitu Thailand Open yang berlangsung pada Julai dan Asian Championships September nanti," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, ditanya mengenai perasaan ketika namanya diumum sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023, Natasha berkata, dia tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut.

"Saya tak expect langsung akan dapat gelaran tersebut. Saya sangat gembira kerana dapat melakar sejarah sendiri dalam hidup," ujarnya.

Natasha yang berusia 28 tahun itu turut berkongsikan perasaannya apabila menjadi wakil kedua dalam sukan boling yang bergelar Olahragawati Kebangsaan.

"Bukan itu sahaja, saya tumpang gembira kerana saya dan idola saya, Datuk Shalin Zulkifli sahaja yang pernah dapat gelaran ini dalam sukan boling," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram