SEPANJANG penubuhan Liga Super, pelbagai import sudah hadir dan mewarnai pertandingan tersebut dengan sumbangan masing-masing amat diperlukan sepanjang perlawanan.
Tetapi, di sebalik nama-nama yang dibawa masuk itu, sesetengah daripada mereka gagal untuk memberikan impak seperti mana diharapkan penyokong dan pihak kejurulatihan kelab.
Perkara itu sudah tentu amat mengecewakan kerana pemain import itu dibawa masuk dengan permintaan gaji lebih tinggi daripada bintang lokal.
BACA LAGI: Ibarat berdepan Belanda, ex keeper Liga Super terkejut tak kenal ramai pemain Garuda
BACA LAGI: 'Ramai rakan mati depan mata', bekas coach Liga Super kongsi sukan tanpa persediaan sangat bahaya
EPL boleh dikatakan sebagai salah sebuah liga paling berprestij di dunia. — Agensi
Bayaran yang diminta juga sudah tentu lebih tinggi sekiranya mereka pernah meraih pengalaman di liga-liga ternama seperti di Eropah mahupun Timur Tengah.
Malah, tahukah anda bahawa pasukan Liga Super pernah bercita-cita besar sehingga sanggup 'pecah tabung' untuk membawa masuk import berkualiti yang berpengalaman di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka tidak memberikan hasil terbaik dengan masalah tersebut membuatkan penyokong mendesak agar mereka digantikan.
Melihat kepada sejarah Liga Super, berikut merupakan tiga bekas import EPL yang tidak menampilkan persembahan terbaik selepas menyertai pasukan tanah air.
1. Herold Goulon (Blackburn Rovers)
Satu harapan cukup tinggi diletakkan di bahu pemain import dari Perancis, Herold Mark Goulon selepas dia menyertai gergasi bola sepak tempatan, Pahang pada 2019.
Manakan tidak, tubuhnya yang cukup tegap membezakannya dengan pemain tempatan, sekali gus menjadikannya ancaman baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Tidak cukup dengan itu, bek tengah yang kini berusia 36 tahun tersebut pernah beraksi dalam EPL dengan terdapat fotonya di samping penyerang Manchester United, Wayne Rooney bermusim-musim dahulu.
Goulon (kanan) ketika cuba menghalang pergerakan pemain Manchester United, Luis Nani (tengah). — Agensi
Bagaimanapun, sepanjang beraksi dalam Liga Super, karier Goulon tidak seperti mana diharapkan berdasarkan pengalamannya yang cukup berharga di Eropah.
Selain sering mengalami kecederaan, isu disiplin juga menyaksikannya kurang digemari penyokong skuad Tok Gajah dan Negeri Sembilan FC yang merupakan kelab kedua tanah air disertainya.
Namun, pemain berkenaan masih memiliki nilai tersendiri dalam arena Liga Super kerana beberapa kali menjaringkan gol menerusi sepakan penalti mahupun tandukan.
Kini, Goulon tidak lagi beraksi buat mana-mana pasukan selepas kontraknya bersama skuad Jang tidak disambung pada jendela perpindahan lalu.
2. El Hadji Diouf (Liverpool FC)
Kejutan dirasai dalam Liga Super selepas Sabah FC berjaya membawa masuk seorang ikon bola sepak di Eropah, El Hadji Diouf yang pernah menjulang pelbagai kejayaan sepanjang kariernya.
Dia yang pernah menyarung jersi Liverpool FC dan Leeds United mengambil keputusan menyertai kelab Borneo tanah air berkenaan pada penghujung kariernya.
Meskipun pasukan itu digeruni ketika ini, reputasi mereka kurang dikenali beberapa tahun lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keputusan Diouf menyertai skuad Sang Badak.
Diouf pernah menyertai beberapa pasukan di Eropah sebelum berkelana ke Liga Super. — Agensi
Tetapi, tahunnya bersama pasukan Liga Super tersebut bukanlah sesuatu yang amat diingati kerana dia hanya menjaringkan empat gol daripada 10 penampilan.
Di samping itu, penyokong juga seakan-akan tidak merindui kelibatnya kerana dia pernah menyatakan keinginan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika masih bergelar kapten Sabah.
Jadi, dengan sumbangan suam-suam kuku dan kontroversi terpalit, Diouf layak untuk berada dalam senarai sebagai salah seorang bekas EPL yang mengecewakan dalam EPL.
3. Chris Herd (Aston Villa FC)
Dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanan, skuad Sang Penyu pernah mengambil keputusan berani dengan membawa masuk pemain import dari Australia, Chris Herd.
Pemain yang mempunyai fizikal cukup hebat itu memiliki pengalaman cukup baik selepas pernah menyertai kelab EPL, Aston Villa dengan beberapa penampilan direkodkannya.
Tidak cukup dengan itu, bek tengah berkenaan pernah menjaringkan gol dalam pertandingan tersebut menentang Liverpool di Stadium Anfield pada musim 2011/12.
Herd (kanan) pernah menjaringkan gol ketika berdepan Liverpool di Anfield. — Agensi
Namun, harapan untuk menyaksikannya menyarung jersi Terengganu FC secara kerap tidak kesampaian apabila masalah kecederaan menghalangnya daripada tampil dalam pasukan.
Berdasarkan rekod, Herd hanya merekodkan satu penampilan buat skuad Sang Penyu sebelum dia dilepaskan dengan persefahaman bersama atas perkara tersebut.
Isu berkenaan jelas menghantui kariernya kerana dia kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun usianya baru sahaja mencecah 35 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram