[VIDEO] Syahmi Safari idam kekuatan Bergson, larian menggila Forestieri jadi mentaliti JDT


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Syahmi berpendapat Bergson merupakan pemain yang mahir dengan kaki kanan dan mempunyai skil dalam kalangan pemain JDT. — Facebook/JDT

BEK kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari memilih penyerang import sensasi Harimau Selatan iaitu Bergson Da Silva sebagai pemain paling mempunyai banyak kelebihan dalam pasukan gergasi itu.

Menerusi video perkongsian segmen Ultimate Footballer bersama Syahmi, pertahanan kental itu berpendapat Bergson merupakan pemain yang mahir dengan kaki kanan dan mempunyai skil dalam kalangan mereka.

Kekuatan kaki kanan dan digabungkan dengan skil yang dimiliki oleh penyerang kelahiran Brazil itu membantu peledak JDT itu mudah menembusi pertahanan lawan sehingga mencetakkan banyak gol buat Harimau Selatan.

BACA LAGI: Menang 9-0 aksi persahabatan, pilih Kampung Ku FC sebagai 'sparring partner' Sri Pahang undang kecaman

BACA LAGI: 'Bukan sebab di SSI', Ramon Marcote perjelas isu kontrak Selangor, tinggalkan pesanan buat Nidzam Jamil

Berkat kemahirannya dalam mengawal bola dan kemahiran memperdayakan pemain pertahanan lawan, Bergson mencipta sejarah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak JDT dalam tempoh hanya tiga tahun beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Bukan itu sahaja, penyerang berusia 33 tahun itu juga muncul pemain pertama yang menjaringkan lebih 100 gol untuk JDT dalam hanya 92 perlawanan untuk Harimau Selatan dalam tempoh tiga tahun.

Selain dua kelebihan itu, Syahmi juga mengangkat cara meraikan gol Bergson setiap kali menggegar gawang lawan iaitu Bergshow paling unik dan menarik dalam kalangan pemain Harimau Selatan.

Dalam pada itu, pertahanan berusia 28 tahun berkenaan juga menganggap mentaliti yang dimiliki bintang import dari Argentina, Fernando Forestieri juga boleh menjadi inspirasi kepada pemain lain.

"Untuk skil saya pilih Bergson. Kekuatan pula Murilo, saya pernah lawan bola dengan dia tapi bola tidak tahu ke mana. Mentaliti semua ada sama tapi Fer (Forestieri) lebih daripada kami.

"Untuk visi ialah Afiq Fazail sebab orang banyak tak jangka mana dia nak hantar bola. (Pemain) kaki kanan Bergson. (Pemain) kaki kiri Juan Muniz, gol kegemaran Juan bila lawan Sabah di Stadium Likas pada tahun lalu dan kelajuan memang Arif Aiman.

"Bila kami dah hilang bola, Forestieri akan kejar bola hingga ke bawah walaupun dia penyerang. orang cakap sampai minit akhir pun akan lari menggila," katanya memetik video yang dimuat naik JDT pada Rabu.

Dalam pada itu, Syahmi turut menyenaraikan Safiq Rahim untuk hantaran terbaik, Nazmi Faiz memiliki teknik dan Heberty dipilih bagi kelebihan dari segi ketepatan untuk percubaan menjaringkan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram