Aksi Malaysia ikat Korea Selatan jadi motivasi kapten Selangor kemudi Singapura berdepan Taeguk Warrios


  • Podium
  • Khamis, 06 Jun 2024

Faisal Halim (kiri) bersorak selepas menjaringkan gol pertama untuk Malaysia. — Agensi

WALAUPUN Piala Asia Qatar 2023 sudah hampir empat bulan berlalu namun momen Malaysia beraksi di pentas tertinggi Asia itu masih segar dalam ingatan penyokong bola sepak tanah air.

Perlawanan menentang Korea Selatan pastinya antara aksi yang sukar dilupakan apabila kebangkitan dramatik Harimau Malaya untuk mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia Qatar.

Malah, aksi itu juga diundi perlawanan terbaik pilihan peminat sepanjang pusingan awal selepas mendapat 80 peratus undi keseluruhan, jauh mengatasi perlawanan Vietnam-Indonesia yang mendapat 19 peratus undian di tempat kedua.

BACA LAGI: Pengarah Akademi JDT mahu guna khidmat 'ubi muda' kacukan termasuk pemain 'baka Haaland'

BACA LAGI: Tidak syok sendiri, Piala Asia B-17 medan buru pengganti Brendan Gan, Shahrul Saad dan Corbin Ong

Bukan itu sahaja, kisah pasukan kerdil seperti Malaysia mengikat gergasi Asia itu juga menjadi inspirasi buat Singapura terutama menjelang aksi menentang skuad The Taegeuk Warriors.

Pemain pertahanan skuad The Lions, Safuwan Baharudin berkongsi bahawa pencapaian Harimau Malaya mengikat Korea Selatan menaikkan semangat Singapura untuk mendapat keputusan positif dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan C pada Khamis.

"Saya berada di Malaysia selama beberapa tahun dan mendapat komen yang dihantar kepada saya selepas Malaysia seri dengan Korea Selatan ialah sesuatu yang bersifat peribadi kepada saya.

“Setiap kali anda melihat negara-negara jiran beraksi cemerlang, perkara itu menjadi motivasi buat saya beraksi dengan lebih baik.

“Ini kerana ini menunjukkan tahap di mana mereka berada dan kita tahu kita tidak terlalu jauh di belakang mereka,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada Rabu yang dikongsikan pemerhati sukan Singapura, Ashikin Hashim di TikTok.

WhatsApp Image 2024-06-06 at 12.56.51

Ketua pasukan Selangor FC itu dijangka menjadi sandaran utama Singapura untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi getir menentang Korea Selatan pada malam ini.

Skuad kendalian Tsutomu Ogura sebelum ini tewas dibelasah Korea Selatan 0-5 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Piala Dunia dekat Seoul pada 16 November 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram