BEKAS penjaga gol skuad muda kebangsaan, Izham Tarmizi sudah mula memulakan latihan bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Izham yang menghabiskan musim lalu dengan beraksi bersama Sri Pahang FC secara pinjaman kini sudah kembali ke pangkuan kelab lamanya yang juga juara bertahan Liga Super.
Kepulangan Izham ke kelab selatan tanah air itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Haziq Nadzli yang mengambil keputusan untuk berhijrah secara pinjaman ke Perak FC bagi membantu pertahanan terakhir skuad itu musim ini.
BACA LAGI: Rejaman kejam, winning mentaliti Malaysia malukan Thailand di Piala Dunia
Ramai penyokong JDT berharap agar Izham (kiri) diberi peluang beraksi berdepan KL City nanti. — Facebook/JDT
Sepanjang menyarung jersi skuad Tok Gajah pada musim lalu, Izham merekodkan 19 penampilan dalam semua pertandingan selain dibolosi sebanyak 23 kali dan berjaya mengekalkan enam clean sheet.
Menerusi satu hantaran yang dimuatnaik oleh JOHOR Southern Tigers di Facebook, menyaksikan kelibat penjaga gawang berusia 33 tahun itu sedang giat menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan.
Turut kelihatan, beberapa tonggak utama pasukan JDT seperti Fernando Forestieri, Endrick Dos Santos, Afiq Fazail dan ramai lagi yang turun dalam sesi latihan yang diadakan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor.
Dalam pada itu, menjelang perlawanan ketiga Liga Super 2024, ramai penyokong JDT berharap agar Izham diberi peluang untuk beraksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC yang akn berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu (25 Mei) nanti.
"Bagilah peluang Izham main nanti lawan Kuala Lumpur, harap sangat JDT rotate keeper," kata Madie Bundle.
"Harap kalau lawan team yang boleh target menang, masukkanlah Izham tu, penyokong nak lihat juga rotation yang sihat. Insya-ALLAH kalau diberi peluang boleh tunjuk kecekapan," kata Maizam Ismail.
"Ni kalau dah kembali ke pasukan asal, bagi juga peluang kat Izham tu pulak beraksi lawan KL City," kata Luaskan Kuasamu Jdt FC.
JDT terus mengekalkan momentum dengan memimpin carta Liga Super 2024/2025 setelah mencatatkan dua kemenangan dalam dua aksi awal liga termasuklah ketika berdepan Negeri Sembilan FC Sabtu lalu.
Dalam perkembangan lain, isteri kepada Izham yang juga merupakan pelakon tanah air, Mia Ahmad selamat melahirkan cahaya mata keempat pukul 5.30 petang Selasa.
Berita itu dikongsikan oleh Izham di Instagram miliknya, izhamtarmizi24 yang turut meluahkan rasa syukur dengan kelahiran cahaya mata lelaki itu.
"Syukur Alhamdullilah, isteri saya selamat melahirkan anak keempat kami pada pukul 5.30 petang Selasa (21 Mei).
"Terima kasih yang mendoakannya, semoga semuanya dipermudahkan segala urusan," tulisnya di Instagram.
Untuk rekod, Mia atau Samihah Ahmad Baderi dan Izham mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan sudah dikurniakan tiga cahaya mata sebelum ini iaitu Sayf Issa,5, Iriss,5, dan Imaani yang kini berusia setahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram