[VIDEO] Harap muncul juara selepas 4 tahun, Rufino Segovia akui masih sayangkan Gergasi Merah


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Rufino Segovia merupakan seorang pemain dengan kualiti penyudah cukup baik dalam sejarah Liga Super.

SEPANJANG sejarah penubuhan Selangor FC, mereka tidak pernah berdepan sebarang isu untuk mendapatkan seorang penyerang berkualiti baik dalam kelompok tempatan mahupun import.

Antara peledak terbaik pernah dimiliki kelab Lembah Klang itu ialah penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia yang beraksi buat mereka dari 2017 sehingga 2020.

Dia yang memulakan karier dengan beberapa kelab berpangkalan di negara kelahirannya tersebut boleh dianggap sebagai salah seorang import terbaik pernah disambar Gergasi Merah.

BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan

BACA LAGI: Baru panas enjin, nanti Syafiq Ahmad tak pasal-pasal kena balik JDT

Manakan tidak, tubuhnya yang sasa cukup sukar untuk dikekang mana-mana pertahanan sepanjang empat musim pemain itu beraksi dalam kancah Liga Super.

Selain itu, Segovia memiliki reputasi sebagai seorang perancang kerana dia beberapa kali membuat hantaran lolos untuk memberikan peluang buat rakan sepasukan.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya penyokong skuad Gergasi Merah masih merindui kelibat Segovia meskipun sudah empat tahun pemain berkenaan meninggalkan kelab.

Perasaan itu dilihat turut dikongsikan penyerang yang kini berusia 39 tahun tersebut yang mengakui dia masih merindui Selangor FC menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya.

752b63a3-d9e1-498f-9e26-7f4453c051fb

Kejayaan membawa pulang Anugerah Kasut Emas sudah tentu sukar dilupakan Segovia.

"Selangor dalam hidup saya, kenangan yang anda (tinggalkan) untuk saya. Sentiasa segar dalam ingatan dan sentiasa tersemat dalam hati saya.

"Saya merindui anda, Selangor. Selamat berjaya untuk musim ini, saya harap dapat bertemu dengan anda lagi," kata pemain berkenaan berserta klip ketika dia masih beraksi buat skuad Gergasi Merah.

Sepanjang bermain bersama pasukan itu, Segovia pernah membantu mereka mara ke perlawanan akhir Piala FA 2018 di samping pernah membawa pulang Anugerah Kasut Emas Liga Super pada tahun sama.

Untuk rekod, pemain berkenaan merekodkan 46 gol secara keseluruhan buat Selangor FC dengan pulangan itu cukup berbaloi bagi seorang penyerang import.

Kini, Segovia difahamkan tidak lagi beraksi bersama mana-mana pasukan selepas kali terakhir beraksi bersama Marbella di divisyen keempat Sepanyol pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram