PERLAWANAN kedua Liga Super menyaksikan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Pasukan bimbingan Hector Bidoglio seperti biasa memiliki kelebihan besar berdepan skuad Jang sama ada dari segi sejarah kemenangan ataupun barisan pemain berkualiti yang dimiliki Harimau Selatan pada musim ini.
Percaturan Bidoglio meletakkan Bergson pada aksi pertama ini membuahkan hasil apabila jaringan luar kotak Bergson membantu penyerang sensasi itu membuka akaun jaringan 2024 pada minit ke-11 selepas menerima hantaran dari pemain tengah, Juan Muniz.
NSFC berkunjung ke Iskandar Puteri bagi aksi kedua Liga Super. — Facebook/JDT
Tendangan jauh dan padu dari penjaring terbanyak Liga Super musim 2022 berkenaan membuatkan bola menjadi lembik sehingga pihak pengadil terpaksa menggunakan bola baharu bagi meneruskan perlawanan tersebut.
Tidak sampai lima minit, Bergson menunjukkan kerasukannya dalam terus menghasilkan gol apabila meledak jaringan kedua pada minit ke-17 dengan Juan juga memainkan peranan dalam mengumpan bola kepada pemain kelahiran Brazil berkenaan.
Skuad Jang nyata tidak berdiam diri apabila berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-27 hasil jaringan bintang pinjaman Selangor, Hein Htet Aung yang berjaya memalukan penjaga gol Harimau Selatan, Syihan Hazmi sekali gus menjadikan skor 2-1 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Harimau Selatan mengesahkan kemenangan apabila Jordi Amat memanfaatkan ketinggiannya dengan menghasilkan gol ketiga buat JDT dengan menanduk bola masuk pada minit ke-71 perlawanan.
Kemenangan memihak kepada pasukan tuan rumah itu menyaksikan Harimau Selatan kini menduduki carta pertama Liga Super dengan mengutip enam mata sementara skuad Jang pula masih gagal mengumpul sebarang mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram