BINTANG Selangor FC, Faisal Halim wajar diberi masa yang secukupnya untuk benar-benar pulih sebelum kembali beraksi bersama Gergasi Merah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, proses pemulihan Faisal bukan hanya membabitkan luka melecur tetapi turut mengenai psikologinya selepas melalui detik ngeri menjadi mangsa simbah asid.
Beliau memaklumkan, semua pihak perlu terus memberikan motivasi kepada Faisal dalam memastikan pemain berusia 26 tahun itu kembali pulih.
BACA LAGI: Piala FA: Laluan sukar menanti Terengganu, Kedah dapat jalan mudah
BACA LAGI: Faisal Halim boleh jumpa anak dari jauh, sempat 'request' nasi ayam penyet
Keadaan pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid pada 5 Mei lalu. — Facebook/SSFC
“Keadaan Faisal jauh lebih baik berbanding selepas peristiwa itu berlaku, dari segi fizikal doktor memaklumkan bahawa proses pemulihan dia berlangsung dengan sangat cepat.
“Namun, kita kena melihat keseluruhan aspek termasuk psikologi dan sebagainya. Saya percaya Faisal wajar diberi masa yang secukupnya untuk pulih sepenuhnya.
“Dia masih dalam proses pemulihan dan itu sudah pasti satu peristiwa ngeri kepada perjalanan hidup dia. Saya percaya dia masih lagi trauma terhadap kesan daripada peristiwa itu,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas beliau melawat Faisal di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Faisal sebelum ini dilaporkan menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara dan insiden malang itu mendapat perhatian semua pihak.
Akibat dari insiden itu, Faisal mengalami luka melecur tahap empat dan terpaksa menjalani rawatan yang panjang termasuk proses ‘skin allograft’ bagi memulihkan lukanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram