MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak akan dibincangkan Jemaah Menteri selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya di luar negara.
Dia berkata, isu itu bagaimanapun tidak disentuh langsung pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.
"Kami tidak membincangkan perkara itu hari ini, tetapi mungkin akan dibuat selepas Perdana Menteri minggu depan," katanya.
BACA LAGI: Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit betulkan fakta berkait pengampunan Najib ditolak mahkamah
BACA LAGI: Perbicaraan Najib cipta sejarah julung kali diadakan pada hujung minggu
Fahmi menegaskan perkara itu tidak disentuh dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, pertimbangan berkaitan tahanan rumah terhadap Najib hanya boleh dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai.
Perdana Menteri menegaskan beliau hanya akan mengesyorkan perkara itu jika pandangannya diminta oleh Seri Paduka.
1 April lalu, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan YDPA ke-16.
Susulan itu, Ahmad Zahid yang merupakan Presiden Umno memfailkan afidavit selaku 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, dia dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden Umno di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram