
KETUA Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyalah guna gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pelekat dan poster kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Sabtu.
Memetik laporan media, Fat Full berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas menyalahi peraturan pilihan raya meskipun pelakunya sudah ditahan pihak berkuasa.
BACA LAGI: Lebih 2 orang samun Akhyar Rashid — Polis
"Kami berharap SPR mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara itu jelas menyangkal peraturan pilihan raya.
"Dengan membawa gambar Seri Paduka, ia memberi gambaran Yang Di-Pertuan Agong menyokong calon Pakatan Harapan (PH).
"Ia satu kesalahan yang sangat besar mengikut peraturan pilihan raya.
"Kami berharap semua pihak yang bertanding sama ada bebas atau mewakili parti, bertandinglah secara bermoral dan sepatutnya semua pihak menghormati Yang di-Pertuan Agong," katanya.
BACA LAGI: Tiada keputusan muktamad pemotongan subsidi diesel — PM Anwar
Menurut Fat Full, tidak menjadi masalah jika menggunakan gambar Pengerusi PH kerana beliau memang ahli politik.
"Tetapi apabila mereka menyalahgunakan gambar Yang Di-Pertuan Agong, itu tidak wajar kerana tuanku mempunyai aura dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan politik.
"Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku untuk mengaitkan tuanku dengan parti politik dan kalau mahu berkempen, kempen dengan cara baik, jangan memperalat Seri Paduka.
"Kita sudah membuat laporan polis semalam dan berharap polis dan SPR bertindak," katanya.
Sebelum ini kecoh di media sosial, sebuah kenderaan utiliti sukan dipasang dengan poster Sultan Ibrahim dan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak sekitar pekan Kuala Kubu Bharu dengan dihiasi bendera Johor, bendera PH dan Jalur Gemilang.
Dalam pada itu, The Star melaporkan dua lelaki ditahan kerana didakwa menggunakan gambar Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim untuk berkempen semasa PRK Kuala Kubu Bharu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, laporan polis dibuat pada Sabtu (4 Mei) selepas pengadu melihat gambar kereta yang meletakkan gambar Agong dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta bendera Pakatan Harapan.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan 1948.
“Bertindak atas maklumat diperoleh, polis Hulu Selangor menahan dua lelaki dan merampas kenderaan yang digunakan kedua-dua suspek berusia 60-an.
"Hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau kerana menghalang tangkapan dan kedua-duanya direman sehingga 7 Mei," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, sambil menambah bahawa kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Ahmad Faizal mengingatkan semua orang supaya tidak mempolitikkan isu sensitif atau membincangkan hal kaum, agama dan royalti (3R). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram