SEMENTARA Liga Malaysia (Liga M) baru ingin memulakan tirainya, Liga 1 Indonesia pula sudah sampai ke penghujung dengan Borneo FC secara rasminya dinobatkan sebagai juara musim 2023/2024.
Tiga pasukan terbawah Liga 1 Indonesia iaitu Rans Nusantara, Bhayangkara dan Persikabo 1973 juga terpaksa menerima hakikat untuk menamatkan pengembaraan dalam Liga 1 selepas disahkan tersingkir pada perlawanan terakhir.
Musim ini berakhir dengan Rans Nusantara menduduki tempat ke-16 dengan 35 mata, di atas Bhayangkara FC yang berada di tangga ke-17 dengan 26 mata, dan Persikabo 1973 di kedudukan terbawah dengan hanya mengutip 20 mata.
Keputusan yang menyaksikan tiga pasukan berkenaan perlu beraksi di divisyen kedua pastinya memberi tamparan hebat kepada pemain berkualiti mereka untuk terus setia atau berhijrah ke kelab lain.
Oleh itu, tidak pelik jika ada pasukan lain bertindak untuk menyambar khidmat pemain berkualiti mereka terutama bintang import selepas melihat keadaan kelab yang tidak lagi beraksi di peringkat tertinggi.
Peluang tersebut bukan setakat terhad bagi kelab Liga 1 Indonesia kerana pasukan Liga Super juga pasti tidak ingin melepaskan peluang untuk menyambar pemain import berkualiti dari tiga kelab berkenaan.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang boleh dipertimbangkan oleh pasukan Liga Super sebagai bintang import baharu pada jendela perpindahan kedua nanti:
BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota
1) Pedro Oliveira Santos
Pemain tengah menyerang Persikabo 1973, Pedro Oliveira Santos baru tiba di Indonesia pada Julai 2023 dengan reputasinya sebagai pemain berpengalaman beraksi beberapa kelab seperti Flamengo dan America FC.
Pedro Oliveira Santos atau lebih dikenali sebagai Pedrinho tampil dengan persembahan memuaskan buat Persikabo pada separuh musim 2023/2024 terutama dalam menambah kekuatan di bahagian tengah mereka.
Dengan hanya memerlukan masa selama kira-kira enam bulan, tonggak berusia 30 tahun itu menjadi pemain paling banyak membuat hantaran bantuan untuk Persikabo dengan merekodkan lapan assist dan empat gol.
Sumbangan Pedrinho itu membuktikan pemain dari negara Samba itu tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dan pastinya mudah untuk dia mengadaptasi suasana Liga Malaysia sekiranya mendapat tawaran dari kelab Liga Super.
2) Radja Nainggolan
Bekas pemain kebangsaan Belgium, Radja Nainggolan mencipta kejutan apabila menyertai pasukan Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC untuk baki musim 2023/2024 pada Disember tahun lepas.
Namun, tugas sukar menanti Radja yang perlu membantu Bhayangkara keluar daripada kedudukan tercorot liga ketika itu tidak membuahkan hasil selepas setakat meraih lima kemenangan dan 18 kekalahan.
Pemain berusia 35 tahun itu juga dilihat kurang gemar dengan suasana Liga 1 Indonesia apabila sering mengkritik pengadil liga berkenaan dengan menyatakan mereka sebagai tidak masuk akal ketika membuat keputusan.
Walaupun gagal menyelamatkan maruah Bhayangkara, Radja masih dianggap pemain tengah berkaliber untuk menyertai Liga Super dengan dia berpengalaman bermain bersama AS Roma, Inter Milan dan Royal Antwerp.
3) Mitsuru Maruoka
Sebelum menyertai pasukan Rans Nusantara, Mitsuru Maruoka merupakan pemain yang berpengalaman beraksi di Liga Korea, Liga Thailand dan bermain bersama Borussia Dortmund II pada musim 2013.
Kehadirannya ke Rans FC pada Julai 2022 tidak membantu pasukannya secara keseluruhan namun sumbangan peribadinya dari segi rekod gol dan hantaran bantuan agak memberangsangkan pada musim ini.
Musim 2023/2024 ini menyaksikan pemain tengah berusia 28 tahun berkenaan sudah mencetak 11 jaringan gol dan dua hantaran bantuan dalam 29 perlawanan dia diturunkan.
Maruoka boleh dilihat sebagai alternatif pemain import buat pasukan Liga Super memandangkan Liga Indonesia sudahpun berakhir dengan Borneo FC dinobat sebagai juara bagi musim 2023/24. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram