Jadi hero lindungi tunang kena samun, penjual sayur parah ditetak pedang samurai di Papar


  • 112
  • Khamis, 02 Mei 2024

Seorang lelaki parah ditetak menggunakan pedang samurai kerana mahu selamatkan tunang daripada disamun. — Facebook

SEORANG penjual sayur parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai ditetak menggunakan pedang samurai dalam kejadian samun di tepi jalan masuk sebuah kawasan perumahan di daerah Papar, Sabah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun dilaporkan patah tulang dan luka di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, sebelum kejadian mangsa bersama tunangnya baru selesai menghantar sayur di Kota Kinabalu.

BACA LAGI: Telefon bimbit, kesan gelincir di dasar sungai rungkai punca insiden budak autistik lemas

Katanya, mereka kemudian pulang ke Papar sebelum singgah makan malam di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian.

"Mangsa bersama tunangnya meletak kenderaan di tepi jalan sebelum berjalan ke kedai makan berkenaan.

"Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi didakwa tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum seorang lelaki yang memegang senjata tajam disyaki sebilah pedang samurai menyerang tunang mangsa," katanya.

BACA LAGI: Permohonan Tengku Zafrul fail afidavit betulkan fakta berkait pengampunan Najib ditolak mahkamah

Kamaruddin berkata, suspek yang memakai topi keledar dikatakan merampas beg silang milik tunang mangsa sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek terbabit.

Katanya, mangsa ditetak dua kali, menyebabkan kedua-dua tangannya cedera.

"Mangsa dilaporkan stabil dan kehilangan barang-barang berupa beg mengandungi beberapa dokumen penting dan telefon bimbit.

"Suspek melarikan diri menggunakan Perodua Myvi yang dipercayai dipandu rakan subahat jenayah.

"Mangsa dibawa ke Hospital Papar oleh tunangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis," katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya giat mengesan suspek dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 088-912222 atau balai polis berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan parah. — The Star/DURIERAINERFONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram