Telefon bimbit, kesan gelincir di dasar sungai rungkai punca insiden budak autistik lemas


  • 112
  • Khamis, 02 Mei 2024

Anggota bomba mengangkat mayat budak autistik yang mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Skudai di Kampung Sepakat Baru, Skudai — Facebook/JBPM

PENEMUAN kesan gelincir dan telefon bimbit di bahagian tebing di dasar Sungai Skudai menjadi petunjuk, kehilangan seorang kanak-kanak autism di Kampung Sepakat Baru, Johor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.30 petang semalam daripada ibu mangsa berusia 26 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati ibu mangsa menyedari mangsa tiada di kawasan sekitar rumah keluarga di Kampung Sepakat Baru pada pukul 3.30 petang.

BACA LAGI: Hilang lebih 48 jam ketika cari daun palas, warga emas ditemukan meninggal dunia di kebun getah Kampung Guar Sanai

“Pencarian dilakukan oleh ahli keluarga terdekat dan menemukan kesan tergelincir di tebing Sungai Skudai yang terletak 30 meter di bahagian belakang rumah.

“Turut ditemui sebuah telefon bimbit di dasar tebing sungai dipercayai digunakan mangsa sebelum hilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Siti Bainun, hukuman penjara 12 tahun kekal

Menurut Seng Lee, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui di dasar sungai kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian pada pukul 11.10 malam hasil operasi mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Identiti mayat disahkan keluarga mangsa dan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor bagi tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram