KEMENANGAN selesa direkodkan skuad Piala Uber negara ketika berdepan Australia dalam aksi penutup Kumpulan B yang sekali gus menutup cerita mereka dalam pertandingan itu.
Bagaimanapun, bagi kapten pasukan, Teoh Mei Xing, perasaan kecewa gagal disorokkannya selepas tidak berjaya menyumbang mata dalam aksi beregu di samping gandingannya, Go Pei Kee.
Dalam satu klip dikongsikan wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, Mei Xing kelihatan sebak selepas tewas 15-21, 17-21 kepada Setyana Mapasa-Angela Yu.
"Saya pun sudah lama tidak menyertai pertandingan dan kali ini saya harap saya dapat beraksi dengan baik, tetapi saya hanya dapat bermain sekali sahaja.
"Saya pun sudah agak berusia, jadi saya ada sedikit sukar mendapatkan fokus. Namun, saya harap saya dapat menahan tekanan dan boleh kekal kuat," kata atlet 27 tahun berkenaan sambil ditenangkan pasangannya.
BACA LAGI: Setakat mampu ke suku akhir selama ini, 2024 peluang skuad Piala Uber lakar sejarah lebih baik
Mei Xing gagal menyumbang mata ketika berdepan beregu dari Australia.
BACA LAGI: Piala Uber: Malaysia tewas 1-4 kepada Taiwan
Beregu berkenaan hanya menyumbangkan satu mata sepanjang kempen Piala Uber kali ini, iaitu ketika pasukan negara tewas 1-4 kepada Taiwan di tangan Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Ahad lalu.
Kekalahan dialami mereka ketika berdepan Australia bagaimanapun tidak memberi kesan cukup hebat selepas Wong Ling Ching mengembalikan kelebihan yang pada awalnya diraih Goh Jin Wei.
Tan Zhing Yi-Ho Lo Ee kemudiannya memastikan mata ketiga diraih setelah menumpaskan Kaitlyn Ea-Gronya Somerville dalam aksi beregu kedua dengan keputusan 21-12, 13-21, 21-10.
Siti Zulaikha Azmi menutup kisah di Chengdu, China dengan kemenangan bergaya ke atas Isabella Yan 21-10, 21-10, sekali gus membolehkan negara mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Australia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram