JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) berjaya mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan apabila menjadi satu-satunya pasukan yang mendominasi Liga Super selama satu dekad.
Pencapaian Harimau Selatan itu berkemungkinan sukar untuk diulangi mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) jika masih lagi terpalit dengan pelbagai isu luar dan dalam padang seperti lazimnya, masalah tunggakan gaji.
Kepimpinan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam memperluaskan empayar bola sepak Johor di rantau Asia telah membuatkan banyak pihak memasang impian untuk menjadi sebahagian keluarga Harimau Selatan.
'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.'
Pepatah itu sesuai menggambarkan nasib jurulatih kelahiran Sepanyol, Pol Corpas Cuatrecasas selepas mengalami episod hitam bersama TRW Kelantan FC dua tahun lalu yang kini sudah pun menyertai keluarga JDT.
Pol atau nama islamnya Abu Bakar mengakui teruja berada dalam sistem bola sepak JDT dan mendedahkan bekas pemain kebangsaan, Kiko Insa menjadi individu yang bertanggungjawab membawanya ke dalam keluarga Harimau Selatan.
"Kiko Insa adalah individu yang membawa saya menyertai JDT II dan saya dilantik menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Juanmi Munoz (ketua jurulatih) sebagai pakar analisis.
"Kami (JDT) bertuah mempunyai 'boss' yang ada mentaliti juara sehingga membuatkan JDT menjadi pasukan terbaik di samping memiliki stadium, pengurusan dan sumber yang hebat.
"JDT juga mempunyai banyak pemain muda yang bagus dan berharap mereka dapat memberikan persembahan konsisten di masa akan datang," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Prestasi tiada kaitan dengan warna rambut, ex coach Harimau Muda bidas Subramaniam
Pol ketika bersama LCS pada tahun lalu.
Sebelum menyertai JDT II, Pol bersama kelab gergasi Singapura, Lion City Sailors (LCS) sebagai analisis, penolong jurulatih B-21 serta ketua analisis akademi pasukan itu.
Jurulatih berusia 28 tahun itu sempat membezakan kualiti yang ada pada LCS dan JDT sehingga membolehkan Harimau Selatan berada di kelas tersendiri.
"Bagi saya kedua-dua kelab mempunyai fasiliti yang bagus, fasiliti JDT amat menakjubkan dan semua sumber untuk menjadi seorang yang berjaya.
"Semua perkara di sini (JDT) berada di kelas yang pertama.
"Di JDT II, kami mempunyai barisan kejurulatihan yang sangat bagus seperti pembantu jurulatih, Marcelo Baamonde daripada Argentina dan dua jurulatih tempatan yang mempunyai banyak ilmu mengenai bola sepak.
"Jurulatih kecergasan, fisioterapi, pakar diet, jurulatih penjaga gol dan doktor semuanya individu yang sangat profesional berada dalam pasukan," jelasnya.
Pol (hujung kiri) bersama barisan kejurulatihan JDT II.
Tambahnya lagi, musim pertama bersama JDT II dia mahu membantu skuad muda Harimau Selatan berada di tempat pertama.
"Misi utama ialah sentiasa berada di atas.
"Semua latihan sudah disediakan dengan keadaan yang sangat baik dan dilaksanakan mengikut perancangan barisan kejurulatihan.
"Setakat ini semua etika profesionalisme berada di situ," luahnya.
Untuk info, musim lalu JDT II terpaksa menelan pahit selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala MFL di tangan Terengganu FC II dengan keputusan 0-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram