HASRAT penyokong tempatan untuk menyaksikan Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan dalam saingan liga domestik akhirnya tercapai apabila sistem berkenaan sudah menjadi pendapat kedua bagi menentukan keputusan pengadil.
Aksi pertama pramusim Liga Malaysia (Liga M) melibatkan Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Negeri Sembilan FC menyaksikan VAR diuji buat kali pertama untuk melihat sejauh mana keberkesanannya bagi saingan domestik yang akan bermula Mei ini.
Beberapa insiden dalam aksi yang berakhir dengan keputusan 2-1 itu memperlihatkan pengadil perlawanan iaitu Zamzaidi Katimin membuatkan keputusan selepas mengaplikasikan teknologi VAR sepanjang 90 minit permainan.
Berdasarkan aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan, penggunaan VAR pada perlawanan terbabit menyaksikan lebih lima kad kuning dilayangkan manakala seorang pemain dibuang padang.
Walaupun teknologi yang sudah lama digunakan di luar negara ini ditunggu-tunggu penyokong namun masih ada rungutan dari peminat dengan rata-ratanya mereka berpendapat terdapat beberapa kekangan perlu ditambah baik penggunaan VAR.
1) Masih lama nak buat keputusan
Brendan Gan menjadi pemain pertama kepada VAR apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-79. — Facebook/MFL
Melihat kembali perlawanan KL City FC menentang skuad Jang Hobin Jang, proses pembuatan keputusan pengadil dibuat mengambil masa yang agak lama dari kebiasaannya kerana pengadil dilihat terlalu bergantung harap kepada VAR.
Benar, penggunakan VAR membantu pengadil membuat keputusan tepat namun jika kesalahan yang boleh dinilai dengan mata kasar pun perlu menggunakan teknologi berkenaan, sudah pasti ia akan mencuri masa lama perlawanan.
Misalnya, Zamzaidi dilihat memerlukan masa sebanyak enam minit sebelum memutuskan hukuman kad merah kepada Brendan Gan selepas dia melakukan kekasaran ke atas pemain NSFC pada minit ke-76 permainan.
"Pengadil kita masih banyak benda perlu belajar kerana setiap keputusan nak kena rujuk VAR, ini akan memberikan kesan tempoh permainan sebab pengadil tidak boleh membuat keputusan dengan tepat," luah penyokong bola sepak domestik, Ruben Mohamad.
2) Siaran di TV belum cukup memuaskan
Pengalaman pertama penonton juga agak kurang memuaskan apabila ramai penyokong bola sepak tanah air mengomel siaran di televisyen belum cukup menuruti kemahuan mereka dari sudut kedudukan kamera, kualiti video dan beberapa perkara lain lagi.
Antara rungutan penyokong bola sepak tanah air mengenai permainan kamera Liga Malaysia ialah tidak memaparkan dengan jelas setiap minit perlawanan yang menyebabkan penonton kehilangan detik penting perlawanan.
Kekurangan sudut kedudukan kamera ketika perlawanan di gelanggang skuad Warga Kota itu tidak memaparkan dengan jelas kerana penonton tidak menerima banyak paparan sedutan mengenai insiden kontroversi permainan.
Tidak banyak kamera digunakan dalam satu-satu perlawanan menyebabkan penonton tidak boleh turut serta menilai dan memahami keadaan sebenar serta keputusan yang dibuat pengadil jika berlaku offsaid atau pembatalan gol.
BACA LAGI: [VIDEO] Angle kamera VAR satu sudut saja, ramai tak setuju kad merah Brendan Gan
3) Tambahan masa terlalu lama
Penggunaan sistem VAR digunakan pada perlawanan antara KL City FC dan NSFC pada Isnin. — Facebook/MFL
Selain kualiti teknikal dan penyesuaian pengadil dengan teknologi itu, uji kaji pertama VAR pada aksi Negeri Sembilan menentang KL City itu juga menyaksikan tambahan masa yang terlalu lama pada babak pertama perlawanan.
Pengadil perlawanan bertindak untuk memberi sebanyak 13 minit masa tambahan bagi separuh masa pertama sementara 10 minit lagi bagi babak kedua. Ia menjadikan sebanyak 23 minit secara keseluruhan untuk masa tambahan sahaja.
Peruntukan masa tambahan yang lebih panjang dari kebiasaan itu berpunca daripada kesukaran pengadil bertugas untuk memeriksa teknologi VAR selepas insiden kontroversi berlaku.
Mungkin ada yang melihat masa tambahan terlalu lama boleh memanfaatkan pasukan yang ketinggalan namun hakikatnya permainan makin kurang menarik kerana pemain rata-ratanya sudah tidak cergas seperti 90 minit sebelumnya.
Selain itu, perubahan itu pasti menimbulkan rasa janggal dalam kalangan penyokong kerana sudah terbiasa dengan lima ke tujuh minit tambahan sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram