Lebih 10 nama dihantar calon Pengerusi PKR Sabah, PM Anwar belum buat kata putus


  • Politik
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Anwar (duduk di tengah) menghadiri mesyuarat khas bersama PKR Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu.

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memutuskan kedudukan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah (MPN), Datuk Sangkar Rakam berkaitan kemelut kepemimpinan yang dihadapi PKR Sabah ketika ini.

Presiden PKR itu bagaimanapun berkata, beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat selepas berunding dengan semua Ketua Cabang PKR di Sabah.

Mengenai jumlah nama yang dicalonkan, Anwar berkata, lebih 10 nama telah dicadangkan, tetapi tidak memberi kenyataan sama ada ketua perhubungan negeri itu akan diganti.

"Mereka bagi pandangan dan saya akan pertimbangkan dan kita akan rujuk kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Ada banyak, berbelas nama (dicadangkan)," katanya.

PKR Sabah berdepan kemelut kepemimpinan apabila 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada awal bulan lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.

BACA LAGI: Isu Najib: Lokman Adam bidas Akmal Saleh

2131493

15 Ketua Cabang PKR Sabah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.

BACA LAGI: Jurang makin jauh? Ini pro-kontra kos sara hidup antara golongan T20 dan B20

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, tiada nama spesifik yang dibincangkan berkaitan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah pada pertemuan khas bersama Perdana Menteri.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu mungkin akan dibawa ke peringkat kepimpinan pusat pada Ahad.

Proses pemilihan Pengerusi MPN PKR negeri, menurut beliau adalah sama seperti proses yang berlaku sebelum ini di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dengan Sabah juga tidak terkecuali, iaitu akan dibincangkan di peringkat pusat.

"Mengikut proses, Presiden parti (Anwar) perlu mengadakan sesi konsultasi bersama Ketua Cabang dan proses itu telah berjalan. Selepas ini, Presiden mengikut kelaziman akan bawa hasil perbincangan dan keputusan ke mesyuarat pimpinan pusat, dan mesyuarat berikutnya diadakan esok (Ahad).

"Terpulang kepada Presiden. Kita ada mesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan. Bergantung kalau Presiden merasakan perlu sedikit masa untuk berbincang lanjut mungkin mengenai Sabah atau MPN negeri lain yang ingin disekalikan. Mungkin kita akan dapat keputusan esok atau mesyuarat MPN akan datang," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Sangkar. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram