[VIDEO] Cuit sikit dah jatuh, fans seru Harimau Muda hati-hati lakonan Vietnam


  • Podium
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Skuad Harimau Muda dijangka berdepan laluan sukar untuk mara ke suku akhir apabila akan berdepan Vietnam pada Sabtu. — Agensi

GELAGAT pemain Vietnam yang secara tiba-tiba menjatuhkan diri di atas padang mencuri tumpuan penyokong bola sepak Asia.

Perlawanan saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 Kumpulan D antara Vietnam dan Kuwait menyaksikan beberapa insiden dan drama seperti layangan dua kad merah serta kesilapan mudah penjaga gol yang berlangsung pada Khamis.

Namun begitu, satu kejadian aneh dilihat terjadi menerusi satu hantaran video yang membabitkan pemain Vietnam, Nguyen Van Truong dan juga pertahanan tengah Kuwait, Youssef Al Haqan menjadi tular di media sosial.

Kejadian yang berlaku di tepi padang pada minit ke-50 itu menyaksikan Van Truong hanya membiarkan bola keluar dari garisan untuk membolehkan pasukannya membuat lontaran ke dalam dan sempat melakukan gaya seperti mengacah untuk menyepak bola berkenaan.

BACA LAGI: Bek import baharu Sabah diduga bakal 'lubuk' JDT, sukar kekang asakan kelab Liga M

Untitled design - 1

Pemain Vietnam (kiri) terlantar di atas padang selepas dicuit pemain Kuwait. — Agensi

BACA LAGI: 'Sampai bila nak harap tajaan TMJ', ekor HM desak Hans Isaac dipecat, dakwa gagal tangani isu padang SNBJ

Namun, apabila bola sudah keluar, Youssef Al Haqan yang menjaga pergerakan Van Truong dengan gaya selamba menepuk dengan perlahan ke dada Van Truong lalu menyebabkan pemain Vietnam itu terkejut.

Dia mengambil kesempatan memperdaya pengadil dengan pura-pura menggelupur jatuh seperti sedang berada dalam kesakitan.

Akibat daripada itu, pengadil, Abdulla Ali Al Marri dari Qatar tanpa teragak-agak melayangkan kad kuning buat Youssef Al Haqan dan memberikan sepakan percuma kepada Vietnam.

Para peminat yang menyaksikan perlawanan tersebut berasa pelik dengan aksi seakan lakonan pemain Vietnam tersebut dan ada yang tidak bersetuju dengan layangan kad kuning yang diberikan.

Dalam pada itu, menjelang perlawanan berdepan Vietnam pada Sabtu (20 April), 'ekor' Harimau Malaya berharap agar skuad kendalian Juan Torres Garrido itu berhati-hati dengan lakonan Vietnam.

"Kalau dengan Kuwait pun boleh berlakon, why not dengan Malaysia kan," kata Ahmad Ajmal.

"Alamak mai dah team yang suka berlakon ini, lawan dengan Malaysia pula tu, no wonder lah if ada yang jadi pelakon nanti," kata Rizal Akmal.

"Baru cuit sikit dah jatuh, nampak sangat berlakon tu," kata Afiq Kamal.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu, Vietnam berjaya meraih tiga mata setelah mencatatkan kemenangan 3-1 dalam aksi penuh drama dan panas hasil dua jaringan Vi Hao Bui dan Nguyen Van Tung manakala gol Kuwait disumbangkan Salman Mohammed.

Malaysia pula terpaksa akur dengan keputusan 0-2 di tangan Uzbekistan pada Rabu lalu sekali gus menyaksikan pasukan kebangsaan menghuni tangga tercorot Kumpulan D.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram