PASUKAN Kuala Lumpur City FC (KL City) menyasarkan untuk mengikat sekurang-kurangnya tujuh pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024/25.
Skuad yang dikendalikan oleh Miroslav Kuljanac itu sudahpun membawa masuk import baharu The City Boys iaitu Lazar Sajcic, lapor Stadium Astro.
Meskipun baru memasuki tempoh dua hari di Malaysia, pemain tengah itu tidak mahu terlalu terikat dengan isu 'jet lag' dan kepenatan memandangkan perjalanan jauh dari Lithuania menuju ke Malaysia.
Tak sampai 48 jam di Malaysia namun pemain berusia 27 tahun yang baru tiba pada pagi Jumaat sudah menjalani sesi latihan pertamanya bersama skuad The City Boys.
BACA LAGI: Bek import baharu Sabah diduga bakal 'lubuk' JDT, sukar kekang asakan kelab Liga M
Walaupun mengakui bahawa tubuhnya sedikit keletihan selain perlu segera mengadaptasi dengan keadaan cuaca di Malaysia yang berbeza tetapi dia tetap positif dengan misinya untuk membantu KL City pada musim ini.
"Pada mulanya ia adalah separuh daripada latihan dan saya berasa baik-baik sahaja walaupun berasa 'jet lag' tetapi saya sudah biasa dengan perkara itu sebelum ini.
"Bagi saya perkara yang paling penting adalah memberikan aksi 100 peratus ketika berada di atas padang nanti.
"Saya datang ke sini untuk membantu KL City dan kembangkan diri saya di Asia sebagaimana saya cuba menyerlah di Eropah dan saya mahu menang kerana itu penting," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram