BADAN penganjur liga amatur, Amateur Football League (AFL) tetap dengan pendirian mereka untuk memperkenalkan penggunaan pemain import bagi musim 2024/2025.
Ia dilihat bagi meningkatkan kualiti kejohanan A1 Liga Semi Pro 2024 (sebelum ini dikenali Liga M3) yang akan berlangsung pada 1 Jun nanti.
Menurut Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, semua kelab terhad kepada kuota dua pemain import semusim dengan gaji siling sebanyak RM15,000 seorang dengan syarat ketat yang dikenakan oleh AFL.
"Penetapan AFL untuk kelab mengambil pemain import tidak lebih 21 tahun adalah untuk membolehkan pemain tempatan bersaing kerana rata-rata mereka yang beraksi di liga ini adalah pemain muda.
"Dengan adanya gaji siling serta had umur untuk pemain import, ia memastikan kelab tidak mengambil pemain berusia 29, 30 tahun yang jauh lebih tinggi kosnya," katanya.
BACA LAGI: Legenda import rindu Terengganu, turun stadium beri sokongan kepada Hai-O
Jacque Faye bermula daripada liga sosial di Malaysia.
Namun begitu gaji siling ditetapkan oleh AFL itu tidak mendapat reaksi baik daripada penyokong bola sepak tempatan dengan ada yang melabelkan terlalu mahal bagi pasukan amatur.
"RM15,000 itu terlalu mahal untuk kelab Liga M3, masa tak ada import pun ada kes tunggakan gaji, lagi kalau bintang import," kata Najmuddin Ajmal.
"Lebih kurang dalam 3100 USD juga, harap pasukan-pasukan amatur ini ukur baju di badan sendiri," jelas Sabri Tajuddin.
"Biar betul pemain import had gaji RM 15,000 kalau setakat tahap main liga kampung?" soal Rusli Hawa.
Bagi penyokong bola sepak tempatan, had gaji siling sebanyak RM15,000 masih lagi tinggi jika pasukan bertanding tidak mampu mengukur baju di badan sendiri dengan membelanjakan wang melebihi bajet yang ditetapkan.
BACA LAGI: Lantik jurulatih baharu, Khairul Helmi dan Syed Sobri tanya mana gaji?
Gombak FC antara pasukan baharu yang menyertai Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Musim 2024/2025 menyaksikan saingan Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 bertukar nama menjadi Liga A1 Semi-Pro, Liga A2 Amateur dan Liga A3 Community. Akan tetapi, saingan Liga A1 Semi-Pro akan kekal dikenali sebagai MBSB Bank Championship atas faktor penajaan.
Untuk rekod, saingan Liga A1 Semi-Pro itu akan disertai oleh 16 kelab dengan sepak mula dijadualkan pada 1 Jun 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram