JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) sekali lagi melakukan perkara luar biasa sebagai kelab tempatan apabila mula menjalani pramusim di bumi Sepanyol pada Rabu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Harimau Selatan sering melakukan latihan pramusim jauh dari rantau Asean seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tahun ini, JDT terbang ke bumi Sepanyol bagi mendapatkan kualiti perlawanan persahabatan yang tinggi dengan bertemu kelab-kelab di negara itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, JDT akan menjalani sebanyak tujuh perlawanan persahabatan bertemu pasukan di divisyen kedua, ketiga dan keempat Liga Sepanyol.
Antara pasukan yang bakal menjadi medan ujian JDT bagi persiapan Liga Malaysia dan AFC Champions League Elite (ACLE) 2024/25 ialah Real Murcia, CF La Nucia, UD Castellonense, CD Alcoyano, CD Eldense, Club Costa City dan CF Benidorm.
CD Eldense merupakan kelab yang beraksi di LaLiga 2 (divisyen kedua) yang akan menjadi medan ujian berkualiti tinggi buat pemain-pemain JDT.
BACA LAGI: Tonggak Rubin Kazan antara ujian besar pertahanan Harimau Muda
Namun apa yang lebih menarik lagi ialah Harimau Selatan juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab milik bekas pemain sendiri iaitu Club Costa City.
Club Costa City ialah milik Aaron Niguez dan bintang Atletico Madrid, Saul Niguez yang mana merupakan sebuah kelab yang memfokuskan pembangunan pemain-pemain muda Sepanyol.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Aaron Niguez, beliau pernah berkhidmat di JDT pada 2018 sehingga 2019 sebelum dilepaskan Harimau Selatan.
BACA LAGI: Hanya guna 5 pemain import, pemilik Kedah jawab status Mat Don
Aaron hanya sempat melakukan tiga penampilan bertemu Perak FC, Kuala Lumpur City dan Terengganu FC dengan hanya merekodkan satu bantuan jaringan dalam tiga perlawanan itu.
Kini Aaron telah pun bersara pada umur 33 tahun dengan kelab terakhirnya ialah CD Eldense dan kini memberi sepenuh tumpuan buat akademinya, Club Costa City.
Walaupun JDT bertemu pasukan bawahan kelab Sepanyol, rata-rata mereka mempunyai pemain yang berpengalaman tinggi di Eropah serta mendapat bakat-bakat muda daripada kelab La Liga (divisyen utama) negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram