Jalan cerita saling tak tumpah bintang Arsenal, bekas penyerang julang piala lepas tinggalkan Selangor


  • Podium
  • Selasa, 16 Apr 2024

Hyuri (tiga dari kanan) mencetak lima jaringan gol dalam 11 perlawanan dia diturunkan. — Facebook/SelangorFC

KEPUTUSAN untuk meninggalkan pasukan lama mungkin sukar dilupakan namun setiap perpindahan yang berlaku pasti membawa kebaikan tersendiri kepada seorang pemain bola sepak profesional.

Misalnya, kisah bekas pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka yang baru sahaja membantu Bayer Leverkusen menjulang kejuaraan Bundesliga selepas meninggalkan skuad The Gunners pada Julai 2023.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan berpindah ke skuad kendalian Xabi Alonso selepas tujuh tahun berkhidmat di utara London yang menyaksikan Xhaka memenangi Piala FA sebanyak dua kali.

Xhaka pernah mengalami detik hitam dalam kerjayanya bersama Arsenal apabila pernah melepaskan lilitan kapten susulan ejekan daripada penyokong, kemudiannya dia dilucutkan jawatan ketua pasukan dan dibuang daripada skuad.

Jalan cerita sama juga berlaku kepada bekas penyerang Selangor FC, Hyuri Henrique yang turut merangkul piala bersama pasukannya, kelab divisyen kedua Brazil, Paysandu baru-baru ini.

BACA LAGI: Ada waktu kita dipuji melambung, ada waktu kita dihina — Faisal Halim

WhatsApp Image 2024-04-16 at 11.51.30

Xhaka membantu Bayer Leverkusen menjulang kejuaraan Bundesliga. — Instagram/Xhaka

BACA LAGI: Kelibat Azam Azmi beri petanda baik

Penyerang berusia 32 tahun itu meninggalkan pasukan Lembah Klang pada awal musim 2023 dan akhirnya menikmati kejuaraan memenangi piala selepas membantu Paysandu menjadi juara Campeonato Paraense 2024 dengan agregat 3-1 ke atas Remo-PA.

Seperti kisah Xhaka, pemain kelahiran Brazil itu juga menerima kritikan hebat dari peminat skuad Gergasi Merah dek dianggap tidak memberikan apa-apa sumbangan dan Selangor dikatakan hanya melakukan pembaziran dengan menandatanganinya.

Detik paling memalukan buat Hyuri apabila penyokong Selangor rata-ratanya memberi komen kurang enak pada hantaran ucapan selamat hari jadi sehingga dia sendiri tampil meluahkan kekewaan kepada peminat Gergasi Merah.

“Terima kasih kerana telah memalukan saya dengan ucapan hari jadi anda,” tulisnya pada ruangan komen pada 2022.

Untuk rekod, sepanjang menyarung jersi Selangor pada musim 2022, penyerang berketinggian 1.86 meter itu hanya mencetak lima jaringan gol dan dua hantaran bantuan dalam 11 perlawanan dia diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram