BARU-BARU ini kecoh mengenai pendedahan yang dilakukan oleh bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) Azmeer Yusof apabila dia menyatakan pernah dibuli ketika awal kariernya sebagai pemain bola sepak.
Bek kiri yang kini beraksi bersama Kelana United berkenaan mendedahkan pernah disuruh untuk menguruskan bagasi para pemain senior ketika di lapangan terbang serta perlu mencuci jersi dan kasut mereka.
Azmeer yang menyifatkan perkara berkenaan merupakan satu bentuk pembulian tidak dipersetujui oleh bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali sambil menegaskan bahawa membasuh kasut serta stoking pemain senior adalah satu perkara biasa dalam bola sepak.
"Bagi saya itu bukan kes buli, kerana daripada zaman dulu saya dah pernah mengalaminya. Bukan masalah sebenarnya cuma itu terma kepada sikap menghormati (antara pemain junior kepada senior).
"Ia dianggap sebagai pembinaan kepada sikap hormat dalam pasukan terutama kepada orang yang lebih tua. Bukan buli pada pandangan saya. Ia normal kalau setakat suruh basuh kasut dan stoking. Itu normal," ulas Safee.
BACA LAGI: Lepas legenda Kedah, Khalid Jamlus pula buka kisah jadi 'mangsa buli' di Perak
Safee (kanan) menganggap angkat beg dan basuh kasut senior adalah perkara normal yang sudah berlaku dari dulu lagi dalam kancah bola sepak tempatan.— Facebook/TFC
Bukan hanya Safee, Akram Mahinan turut senada apabila menyifatkan isu pemain junior mengangkat beg dan membasuh kasut pemain senior bukanlah perkara serius yang perlu dibincangkan.
“Kenapa pula (pemain junior) angkat beg dan basuh kasut jadi isu,” katanya menerusi laman X pada Selasa.
Pemain Terengganu FC (TFC) turut mendedahkan bahawa kebanyakan pemain muda akan menghulurkan bantuan untuk membantu kitman mengangkat beg jika berkunjung ke stadium lawan.
Baginya, pemain senior bukanlah seteruk seperti yang diceritakan oleh segelintir pihak, bahkan mereka tidak lokek membantu dan menjaga kebajikan rakan sepasukan terutama tonggak muda.
Kenyataan yang keluar daripada mulut Safee dan Akram itu bagaimana masih mendapat respons negatif daripada penyokong bola sepak tanah air kerana sebahagian peminat menganggap mereka menormalisasikan budaya buli dalam bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram