Nazmi Faiz antara 3 bekas anak buah OKS boleh bantu 'squad depth' Sabah musim depan


  • Podium
  • Ahad, 07 Apr 2024

Bagi sasaran musim ini, Kim Swee berharap mereka dapat menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik liga bersama skuad yang dimilikinya. — Facebook/Sabahfc

MENJELANG permulaan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/25, kebanyakan pasukan sudah mengorak langkah awal dengan merekrut beberapa wajah baharu.

Kemasukan wajah baharu tersebut pastinya mahu membantu bahagian serangan dan pertahanan sebuah pasukan agar menjadi salah satu kelab yang digeruni.

Sabah FC tidak terkecuali apabila sebelum ini dikhabarkan bakal menerima kehadiran import baharu iaitu Haris Stamboulidis.

Susulan khabar angin tersebut, penyokong Sabah FC meluahkan kegembiraan mereka apabila bakal menerima sentuhan import itu dalam skuad tersebut bagi membantu jentera serangan Sabah FC.

Bagaimanapun, hasrat penyokong Sang Badak untuk melihatnya menyarung jersi pasukan itu masih belum kesampaian kerana tiada kata putus yang diberikan pihak pengurusan Sabah FC setakat ini.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang wajar dibawa masuk Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada jendela perpindahan pertama musim 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari cat hingga kerusi baharu, tapi jenis rumput 'spoil' persediaan Selangor ke Piala AFC

Nazmi

Sekiranya Kim Swee berjaya mendapatkan khidmat Nazmi, pastinya ia akan memberi kelebihan kepada Sabah FC. — Instagram/nazmifaizmansor

1. Nazmi Faiz Mansor

Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz antara pemain berbakat yang pernah berada di bawah bimbingan Kim Swee.

Nazmi yang baru berusia 17 tahun ketika itu sudah bermain bersama Harimau Muda pada 2011/2012 dan merupakan nadi tengah untuk pasukan Bawah 23 (B-23) Tahun kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2011.

Sebelum ini, Nazmi merupakan pemain tengah 'regular' yang sering dipanggil dalam skuad kebangsaan.

Namun, kekurangan minit permainan dan selalu dipinggirkan daripada skuad JDT ketika ini memadam peluangnya untuk kembali beraksi di atas padang.

Dalam pada itu, sekiranya Kim Swee merekrut Nazmi secara pinjaman, pemain tengah itu dijangka akan cepat mendapat keserasian selain dapat memahami taktikal pengendali Sang Badak itu.

Syazwann

Peluang untuk mendapatkan khidmat Syazwan masih terbuka berikutan memegang status sebagai ejen bebas. — Facebook/KDA FC

2. Syazwan Zainon

Bekas pemain Kelantan United FC, Syazwan Zainon antara watak penting yang pernah dipanggil oleh pengendali Sabah FC itu untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Meskipun kurang disanjung, peminat setia bola sepak tanah air pastinya sukar melupakan prestasi menakjubkan Syazwan yang pernah menjadi watak utama ketika saingan Piala AFF 2016.

Ia kemudiannya menjadi satu-satunya momen terbaik pemain versatil terbabit dalam pasukan kebangsaan apabila dia bergelut untuk mendapatkan peluang selepas itu.

Sekiranya Kim Swee merekrut Syazwan yang berstatus sebagai ejen bebas musim ini, sudah pasti kejayaan ketika Piala AFF 2016 berulang semula di bumi Sabah.

Pastinya gandingan Syazwan dan Kim Swee boleh membawa Sabah FC menjadi pasukan yang digeruni berikutan pernah bekerjasama dalam skuad Harimau Muda.

Syazwan

Syazwan merupakan nadi utama skuad B-22 kebangsaan musim 2017. — Facebook/Sri Pahang FC

BACA LAGI: Penang-Perak sama handal, pemburuan striker tajam perlu diteruskan

3. Syazwan Andik

Pemain sayap Sri Pahang FC, Syazwan Andik antara wajah baharu yang patut direkrut Kim Swee musim depan.

Ia berikutan selepas Syazwan juga merupakan watak penting yang pernah menabur bakti bersama Kim Swee.

Untuk rekod, Syazwan pernah berada di bawah bimbingan Kim Swee ketika masih mengendalikan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan pada musim 2017.

Pastinya gandingan bersama Kim Swee akan memberikan kelebihan kepada skuad Sang Badak kerana Syazwan merupakan nadi utama skuad B-22 kebangsaan di bawah Kim Swee ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram