ENAM pasukan Liga Super berada dalam senarai disekat menjalankan perpindahan pemain daripada FIFA, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Jumlah berkenaan menyaksikan negara mempunyai 'wakil' tertinggi dalam kalangan liga dalam rantau Asia Tenggara diikuti Indonesia dan Thailand (lima).
Pengumuman terbabit semestinya mencalarkan imej bola sepak negara yang sedang dalam usaha menjadi antara yang terbaik dalam kalangan pencabar lain.
Berdasarkan senarai dalam laman sesawang FIFA, KL City FC mengalami sekatan perpindahan bermula 1 Februari sementara KDA FC berdepan arahan itu sejak 4 Mac lalu.
Enam kelab Liga Super dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA berikutan isu tunggakan gaji. — Facebook/Asean Football
Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak apabila mereka sudah membawa masuk pemain baharu sejak jendela perpindahan dibuka.
Bagaimanapun, penaung KL City FC, Fahmi Fadzil sebelum ini mengatakan tunggakan gaji dialami sudah diselesaikan demi persiapan musim baharu.
Status berkenaan turut difahamkan sudah diketahui FIFA dengan nama kelab Lembah Klang tersebut bakal dipadamkan daripada laman web mereka selepas ini.
Ia turut disokong apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard mengesahkan sekatan itu sudah diangkat selepas isu tunggakan gaji berjaya dilunaskan.
Hantaran Zulhelmi mengesahkan KL City tidak lagi terpalit dengan isu tunggakan gaji. — X/Zulhelmi Zainal Azam
"KL City dah lunaskan pada 27 Mac 2024," katanya ringkas kepada Majoriti.
Malah, pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam turut berkongsi tangkap layar sepucuk surat mengatakan kelab terbabit boleh membawa masuk pemain baharu.
Bagi KDA FC pula, mereka difahamkan masih mengalami tunggakan untuk November dan Disember dengan penyelesaian perlu dilakukan segera.
Selain kedua-dua pasukan berkenaan, Kelantan FC, Perlis United, Sarawak United dan Melaka United turut mengalami sekatan perpindahan FIFA dengan masing-masing sudah tidak lagi beraksi dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram