Selain Thai, ada 2 lagi team gugat misi Malaysia rangkul gelaran juara Piala Dunia


  • Podium
  • Rabu, 03 Apr 2024

Sebahagian aksi menarik skuad negara yang akan berdepan cabaran dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024. — The Star

SEBANYAK 21 negara mengesahkan slot untuk menyertai perlawanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 akan berlangsung di Stadium Titwangsa, Kuala Lumpur pada 18 hingga 26 Mei nanti.

Sudah pasti ramai peminat sukan tersebut tidak sabar untuk menyaksikan pasukan negara berentap dalam kejohanan itu.

Bercakap mengenai kejohanan tersebut, Pengerusi Komiti Etika dan Integriti Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Jais Abdul Karim berkata, pasukan negara perlu memanfaatkan bermain di gelanggang sendiri.

"Pendapat saya, sudah semestinya Malaysia mempunyai kelebihan kerana sudah terbiasa dengan Stadium Titiwangsa.

"Setelah sekian lama pelbagai kejohanan juga diadakan di situ, para pemain juga sudah pasti terbiasa dengan gelanggang sendiri.

"Jadi kita tahulah kelebihan dan kekurangan gelanggang di stadium tersebut," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Boszam nafi TRW tarik diri Liga M3, 'ex player' nasihat lebih baik bayar hutang walaupun satu sen

WhatsApp Image 2024-04-02 at 20.32.17

Majlis Pelancaran Trofi ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpu 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh. Facebook

Ditanya mengenai peluang untuk Malaysia bergelar juara musim ini, Jais Karim berkata, pasukan negara perlu berjaga-jaga dengan kekuatan Thailand.

"Nak bergelar juara adalah sesuatu subjektif kerana kekuatan pasukan Thailand itu kelihatan cukup kuat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Korea dua tahun lepas.

"Bukan itu sahaja, peningkatan pasukan lain terutamanya India dan Korea Selatan perlu diperhatikan, saya lihat ia akan menjadi satu cabaran utama kepada pasukan Malaysia.

"Jadi sukar untuk menelaah adakah kelebihan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk kejuaraan," katanya lagi.

Meskipun sukar bergelar juara namun Jais berharap agar pasukan negara mampu meletakkan sasaran untuk layak ke final dalam setiap acara yang dipertandingkan.

"Bagi saya, sasaran untuk mara ke perlawanan akhir bagi setiap acara adalah cukup baik.

"Tapi, peluang untuk bergelar juara dalam acara regu dan beregu kelihatan lebih cerah berbanding acara berpasukan," jelasnya lagi.

Takraw Malaysia

Pasukan negara bakal berdepan cabaran dengan menentang skuad Thailand. Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Genap setahun lalu, Teong Kim, Arif Aiman 'berperang' di tepi padang

Menurutnya, setiap pasukan ketika ini sudah mengorak langkah awal dengan menjalankan latihan menjelang Mei nanti.

"Setakat ini saya difahamkan sebanyak 21 negara yang sudah mengesahkan penyertaan akan berentap bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1.

"Setiap pasukan sudah memulakan latihan pusat dan ada negara yang akan tiba awal untuk berlatih di Malaysia.

"Setakat ini hanya pasukan dari negara Perancis yang akan berlatih seminggu lebih awal untuk latihan berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

"Saya berharap sukan takraw piala dunia ini akan menjadi antara yang terbaik pernah dianjurkan dalam sejarah kejohanan ini.

"Ia kerana Malaysia terkenal dengan sukan takraw dan berharap agar peminat dapat hadir penuhkan Stadium Titiwangsa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram