Semangat Ramon Machado membuak-buak lepas jadi hero Sang Badak musim lalu


  • Podium
  • Khamis, 04 Apr 2024

Machado diharapkan terus menjadi watak utama skuad Sang Badak selepas musim debut yang cemerlang. — Facebook/Sabah FC

DALAM misi mengurangkan tekanan terhadap Darren Lok di posisi penyerang, Sabah FC mengambil keputusan membawa masuk seorang lagi pemain di posisi itu pada jendela perpindahan kedua musim lalu.

Ramon Machado yang beraksi di liga Azerbaijan bersama Gabala menjadi pilihan setelah kelab Borneo itu berasakan gaya permainannya sesuai dengan pasukan.

Harapan itu mudah direalisasikan penyerang kelahiran Brazil tersebut yang beraksi cukup cemerlang sejak pertama kali menyarung jersi skuad Sang Badak.

Sembilan gol yang dijaringkannya dalam 11 penampilan Liga Super membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menamatkan saingan di tangga ketiga.

Impaknya turut dirasakan dalam saingan Piala AFC dengan gandingannya di samping Darren Lok menyaksikan kelab itu layak ke peringkat kalah mati.

BACA LAGI: Tengok dulu macam mana', CEO Sabah kongsi masa depan Ramon Machado bersama The Rhinos

2407757

Machado mencatatkan pulangan gol yang cemerlang dalam Liga Super 2023. Facebook/Sabah FC

Jadi, Machado pasti diharapkan rata-rata penyokong untuk mengulangi sumbangan mengagumkan terbabit musim depan dalam misi menambah baik kedudukan berbanding tahun lalu.

Sasaran berkenaan turut disedari penyerang berusia 33 tahun tersebut yang sudah tidak sabar untuk mengharungi saingan akan datang bersama Sabah FC.

"Latihan pramusim berjalan dengan baik dengan kesemua pemain sudah bersedia untuk musim baharu yang akan bermula pada Mei.

"Pasukan ini tidak melakukan rombakan besar-besaran dan rata-rata tonggak masih bersama kami. Jadi, hubungan antara pemain berada di tahap terbaik," katanya.

Selain pernah beraksi untuk Gabala, Machado juga pernah meraih pengalaman di negara kelahirannya bersama beberapa kelab, termasuk Juventude dan Botafogo.

BACA LAGI: Ibarat gandingan Bergson-Forestieri, Darren Lok rupanya perlu 'pair' untuk menyengat

2180758

Machado (kanan) mencetuskan persefahaman cukup baik dengan Darren Lok. Facebook/Sabah FC

Sepanjang jendela perpindahan dibuka, Sabah FC masih belum membawa masuk wajah-wajah baharu yang berprofil tinggi kerana lebih cenderung mendapatkan pemain daripada skuad simpanan.

Meskipun terdapat khabar angin mereka bakal mengalu-alukan kehadiran Haris Stamboulidis, perpindahan itu masih belum dimeterai setakat ini.

Tambah Machado, sesi pramusim membolehkannya mencipta persefahaman dengan Darren Lok untuk memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan.

"Ia adalah satu kelebihan buat saya untuk beraksi di sampingnya kerana kami tahu masa terbaik dalam melakukan serangan atau tidak.

"Saya percaya kami menikmati satu musim cemerlang sebelum ini dan diharapkan ia mampu ditambah baik selepas ini," katanya lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram