SEJAK menjejakkan kaki ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jun lalu, Ramon Machado tidak mengambil masa lama untuk membuatkan seluruh penyokong Sang Badak jatuh cinta dengan persembahannya.
Hadir dengan reputasi sebagai bekas juara Piala Azerbaijani bersama FK Qabala, Machado memberi amaran kepada semua pasukan Liga M apabila meledak dua gol pada penampilan sulung bersama Sabah FC.
Pemain berusia 32 tahun itu dijangka menjadi senjata rahsia Sabah FC untuk bersaing dalam Piala AFC 2023 selain membantu mendaki kedudukan tertinggi Liga Super musim ini.
Musim ini bersama Sabah, Machado sudah menjaringkan lapan gol dalam sembilan penampilan terakhir serta melakukan dua assist sekali gus menjadi antara pemain import yang tidak mengambil masa untuk mencuri tumpuan di Liga M.
Machado sudah menjaringkan lapan gol bersama Sabah FC.
Cuma menjadi persoalan adakah Machado akan kekal beraksi untuk The Rhinos musim depan? Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah, Ahmad Marzuki Nasir berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama barisan jurulatih dan pihak pengurusan lain.
"Ini bergantung kepada 'head coach' dan 'top management' pemilihan komuniti saya seorang tak boleh buat keputusan.
"Nanti dia 'demand' pula kalau dia tahu dia bagus. Terpulang kepada coach macam mana rancangan tahun depan serta jawatankuasa pemilihan," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Marzuki juga sempat memuji impak positif dibawa Machado ke dalam kem Sabah yang mana sebelum ini mempunyai masalah untuk menjaringkan gol.
"Memang sangat berdedikasi, memang daripada awal kita tahu Machado ini seorang penyerang yang boleh menyelesaikan bahagian serangan.
"Sebelum ini, Sabah mempunyai masalah sukar untuk menjaringkan gol, jadi dengan adanya Machado ini kita dapat menyelesaikan masalah itu.
"Ia sekali gus untuk membantu Darren Lok begitu juga dengan Saadil Ramdani untuk mempertajamkan lagi serangan Sang Badak," jelasnya.
Sabah berada dalam Kumpulan H untuk Piala AFC.
Sabah akan menempuh satu lagi perjalanan menarik dalam kalendar bola sepak mereka apabila menyertai Piala AFC 2023.
Dengan baki perlawanan Liga Super semakin berkurangan dan kempen Piala Malaysia memasuki separuh perjalanan, Sabah mempunyai aksi tambahan apabila membawa nama negeri itu di peringkat Asia.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan bertandang ke Singapura, Indonesia dan juga Vietnam untuk bertemu Hougang United, PSM Makassar dan Haiphong FC dalam Kumpulan H. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram