PENYERANG berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva berada dalam kelas tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik buat kali kedua pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK23).
Sebelum ini, Bergson turut mencipta nama selepas berjaya meraih Anugerah Penjaring Gol Terbanyak Import Liga Super dan Pemain Import Terbaik bagi ABK 2022.
Meskipun meraih anugerah tersebut, Bergson enggan terlalu selesa dengan pencapaian itu dan menyifatkan ia sebagai pembakar semangat untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
“Apabila anda sudah mencapai sesuatu yang hebat, kadangkala anda cenderung untuk berehat sedikit tetapi itu tidak akan berlaku untuk saya dengan JDT. Anda tidak boleh berehat.
“Dalam bahasa Portugis, kami menyebut 'nao posso ficar muito tranquilo' yang membawa maksud saya tidak boleh berehat terlalu mudah. Saya akan terus menjaringkan gol. Saya akan memberikan usaha yang terbaik dan kekal profesional.
“Sebagai sebuah pasukan, kami mahu mengekalkan semua gelaran yang kami menangi," katanya.
BACA LAGI: FAM tidak panik dakwaan surat layang — Rosmadi Ismail
Beraksi cemerlang bersama JDT, Bergson dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik ABK23. — Instagram/officialjohor
BACA LAGI: Brendan Gan buat U-turn, kembali ke Lembah Klang?
Menurutnya, skuad Harimau Selatan itu berharap agar memenangi kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut sebagai permulaan musim.
“Kami akan terus menjadikan kejayaan musim lalu sebagai inspirasi untuk membawa kami ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya.
Tambahnya lagi, kerjasama dalam satu pasukan merupakan kunci utama kejayaan JDT.
“Sudah tentu saya berbangga kerana memenangi anugerah itu buat kali kedua. Saya tidak pernah menjangkakan kerjaya saya akan berkembang dengan cara yang hebat.
"Semua ini bagaimanapun tidak mungkin berlaku jika tidak kerana kerjasama berpasukan. Kelab, pemain dan jurulatih berjaya kerana kami saling menghormati antara satu sama lain seperti keluarga," kongsinya.
Ditanya mengenai sasaran musim 2024, pemain kelahiran Brazil itu mengatakan bahawa mahu mengekalkan kecemerlangannya sebagai import terbaik.
“Musim 2022 adalah yang terbaik untuk saya kerana ia seperti mimpi. Saya tidak menjangka dapat menjaringkan banyak gol," katanya. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram