Tomi resah hilang khidmat duo menjelang aksi berdepan Selangor FC II


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Sebahagian sesi latihan skuad Sang Penyu dalam persiapan berdepan Selangor FC II pada Ahad. — Facebook/Terengganufc

MENJELANG permulaan Liga Malaysia (Liga M), kebanyakan pasukan sudah mengorak langkah awal dengan mengadakan perlawanan pra-musim untuk menambah kecergasan pemain.

Naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC (TFC) akan mengadakan aksi pra-musim berdepan Selangor FC II dalam satu perlawanan persahabatan tertutup yang berlangsung di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada Ahad.

Menariknya kempen pra-musim tersebut, skuad Sang Penyu akan dibarisi dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Suhaimi Husin.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner di laman Facebook rasmi, Terengganu FC yang mengatakan bahawa pasukan kendaliannya akan menentang dua pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang.

"Tiga orang pemain kebangsaan iaitu Safawi, Akhyar dan juga Suhaimi akan kembali bersama pasukan untuk tiga aksi perlawanan persahabatan ini.

"Pada ketika ini, menguji kecergasan setiap pemain serta kefahaman taktikal adalah menjadi keutamaan untuk memastikan keserasian dapat diterjemahkan.

"Malah, keputusan perlawanan juga penting untuk membina motivasi buat para pemain menjelang perlawanan Liga M yang akan bermula pada Mei nanti," katanya di Facebook.

BACA LAGI: Teruja kali pertama pindah ke Borneo, Jordan Mintah tak sabar berganding dengan ex-TFC

WhatsApp Image 2024-03-31 at 4.07.40 PM

Tomislav yakin keputusan perlawanan juga penting untuk membina motivasi buat para pemainnya. — Facebook/Terengganufc

BACA LAGI: Casagrande bukan naturalisasi Penang FC, disebut bakal perkuat Gergasi Merah

Namun begitu, pengendali kelahiran Croatia itu terpaksa mengenepikan khidmat dua tonggak utama Sang Penyu, Azam Azmi Murad dan Ivan Mamut yang ketika ini mengalami kecederaan.

"Dua lagi pemain utama pasukan iaitu Azam Azmi dan Ivan Mamut tidak dapat diturunkan aksi persahabatan tersebut kerana mengalami kecederaan.

Menurut Steinbruckner, pemain pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi yang mengalami kecederaan ketika perlawanan berdepan Oman dilihat memerlukan rehat yang panjang.

Berbeza pula dengan Ivan Mamut yang dijangka bakal kembali beraksi bersama pasukan tersebut.

"Azam dilihat memerlukan masa yang agak panjang untuk kembali sembuh dan Ivan Mamut pula dijangka akan dapat kembali bersama pasukan tidak lama lagi," katanya.

Pasukan Terengganu FC akan mengharungi tiga perlawanan pra-musim menentang skuad Selangor FC II, PDRM FC dan Negeri Sembilan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram