Dari bintang hingga ke staf JDT, semua setuju potong gaji demi warga Johor


  • Podium
  • Sabtu, 30 Mac 2024

JDT mencatatkan kejuaraan ke-10 berturut-turut dalam Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus menapak sebagai kelab terbaik Malaysia dengan sentiasa mengorak langkah baharu dalam semua aspek seperti penambahbaikan pasukan, fasiliti dan kewangan.

Selain itu, kelab di Selatan tanah air berkenaan juga sentiasa mewujudkan aspek untuk membuat hubungan baik dengan penyokong misalnya pernah bersetuju untuk membuat pemotongan gaji sebanyak 33 peratus pada musim 2020.

Tindakan murni itu bukan hanya melibatkan barisan pemain JDT kerana jurulatih dan kakitangan kelab turut bersetuju sumber pendapatan mereka dipotong sehingga 33 peratus.

Malah, mereka juga sebelum ini turut bersetuju untuk mendermakan sebahagian gaji kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi menangani situasi semasa berkaitan penularan wabak Covid-19.

Mengimbau laporan pada empat tahun lepas, barisan pemain memahami situasi semasa kelab dan bersedia bertolak ansur dalam menghadapi situasi genting berkenaan bagi membantu usaha meringankan beban rakyat Johor semasa krisis Covid-19.

BACA LAGI: Tewas mengejut kepada Police Tero, ada yang anggap JDT simpan kuku

BACA LAGI: Bekas import Selangor, Kedah bakal uji JDT dalam aksi 'friendly' dengan kelab Thailand

“Disebabkan tuntutan kemanusiaan yang melanda semua lapisan masyarakat, pemain, jurulatih dan kakitangan kelab bola sepak JDT bersetuju untuk membuat potongan gaji sebanyak 33 peratus.

"Kelab juga mendermakan sebahagian daripada gaji mereka kepada tabung bencana Johor. Ini adalah untuk membantu kelab dan masyarakat meringankan beban mereka dalam masa ujian ini," kata kenyataan itu pada Mac 2022.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) waktu tersebut, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pengorbanan yang ditunjukkan para pemain dan pegawai pasukan JDT itu seharusnya dicontohi pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Apa yang telah ditunjukkan oleh JDT ini merupakan contoh pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global kini,” katanya.

Menurutnya, penghargaan sudah tentu seharusnya diberikan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga sinonim dengan panggilan TMJ di atas usaha positif ini dan cara beliau menguruskan kelab secara keseluruhannya.

Katanya, beliau berharap agar pasukan-pasukan dalam Liga-M dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama berhubung isu pembayaran gaji dalam keadaan yang sukar ketika ini demi menjaga kepentingan arena bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram