Dah dapat lampu hijau 'match' lawan Oman, Hannah Yeoh kongsi gambar terkini SNBJ


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Foto terkini keadaan padang di SNBJ yang dikongsikan Hannah pada Isnin. — Twitter/HannahYeoh

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur sudah mendapat kelulusan untuk digunakan dalam perlawanan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas ramai pihak menimbulkan keraguan mengenai status gelanggang utama skuad Harimau itu untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

BACA LAGI: Padang SNBJ tidak bersedia, tidak baik untuk perlawanan esok — Jurulatih Oman

Hannah berkata, keputusan untuk tidak membenarkan kedua-dua pasukan untuk berlatih di venue berkenaan adalah kerana faktor cuaca.

"FIFA Match Commissioner (MC) tidak benarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ kerana hujan pada waktu petang kebelakangan ini

"Padang SNBJ telah mendapat kelulusan MC untuk perlawanan.

"Penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu," katanya menerusi ciapan di laman X pada Isnin.

BACA LAGI: Kalau menang memang wonderful, teruja nak tengok status padang — Pan-gon

Dalam hantaran tersebut, beliau turut memuat naik gambar terkini keadaan padang di SNBJ.

Pada Februari lalu, SNBJ digunakan bagi penganjuran konsert penyanyi popular, Ed Sheeran.

Sebelum itu, padang SNBJ mengalami kerosakan berikutan penganjuran konsert Coldplay pada November 2023.

Padang di stadium nasional itu terdahulu dinaik taraf dengan digantikan rumput zeon zoysia.

Ia mengalami kerosakan ketika aksi pertama Pestabola Merdeka menentang India sekali gus menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak. Padang berkenaan bagaimanapun tetap digunakan untuk aksi final kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram